Selasa, 3 Januari 2017

Hanya dua murid tahun satu mendaftar

Hanya dua murid tahun satu mendaftar
Nurul Husna mengajar dua murid tahun satu yang mendaftar di sekolah itu, pagi tadi.

SABAK BERNAM - Hanya dua murid tahun satu mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Jawa yang memulakan sesi pembelajaran tahun ini di sekolah itu, pagi tadi.

Dua murid itu, Siti Nurul Aina Syafiqa Bahari dan Nabil Rifqi Nezri yang juga saudara sepupu itu masing-masing berusia tujuh tahun.

SK Tanjong Jawa yang dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) mempunyai seramai 16 murid tahun satu hingga enam sekali gus antara sekolah yang mempunyai bilangan murid terendah pada tahun ini di Selangor.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Muridnya, Farrus Wahi Anuar berkata, di daerah Sabak Bernam terdapat empat SK yang dikategorikan sebagai SKM.

"Tiga SKM lain ialah SK Kampung Baru, SK Lubuk Pusing dan SK Seri Cempaka," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun Farrus berkata, SK Tanjong Jawa merupakan SKM yang mempunyai bilangan murid paling sedikit di daerah itu berbanding tiga sekolah itu.

"Sekolah yang diketegorikan sebagai SKM ini ialah bilangannya kurang daripada 150 murid," katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, meskipun sekolah itu dikategorikan sebagai SKM, namun Kementerian Pendidikan tetap menyalurkan segala bentuk bantuan sama seperti sekolah-sekolah lain di negara ini.

"Kami juga menerima bantuan awal persekolahan,  Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan juga bantuan susu sekolah serta bantuan-bantuan lain," katanya.

Guru Penolong Kanan Pentadbirannya,  Khairunnajat Mustajid berkata, terdapat kemerosotan jumlah keseluruhan murid tahun ini berbanding tahun lalu.

"Sekolah ini mempunyai seramai 16 murid berbanding tahun lepas iaitu seramai 21 murid.

"Kita ada enam murid tahun enam dan seorang anak yatim yang bersekolah di sini pada tahun lepas.

"Namun pada tahun ini, anak yatim terbabit  memohon tinggal di asrama di Sungai Besar dan enam lagi bekas murid kami melanjutkan pelajaran mereka ke tingkatan satu.

"Untuk tahun ini, kita ada dua murid tahun satu menjadikan bilangan keseluruhan murid merosot seramai lima murid berbanding tahun lepas," katanya.

Ujar beliau, mengikut pecahan murid mengikut tahun pula, seramai dua murid tahun satu, manakala empat murid tahun dua sementara tiga murid lagi tahun tiga.

"Empat murid tahun empat, manakala hanya seorang murid tahun lima dan dua murid tahun enam," katanya.

Guru Kelas Tahun Satu SK Tanjong Jawa, Nurul Husna Abu Naim berkata, pengalamannya mengajar di sekolah itu amat berharga, apatah lagi menjadi guru kelas tahun satu sejak dua tahun lalu.

"Tahun ini hanya dua murid sahaja yang mendaftar berbanding tahun lepas kita ada empat murid tahun satu.

"Ini secara tidak langsung memudahkan lagi urusan pengajaran dan pembelajaran kerana saya boleh memberi tumpuan yang lebih kepada dua murid ini.

" Saya rasa seronok mengajar, apatah lagi mereka (dua murid ini) sudah boleh mengenali huruf dan nombor," katanya.

Tiada ulasan: