Jumaat, 6 Januari 2017

Fitnah DAP beri ‘dedak’ RM50, portal berita pro-BN dituntut mohon maaf


Roketkini.com


GEORGE TOWN: Serangan bertali arus yang dilakukan pihak tertentu terhadap DAP dalam bentuk sebaran mesej berunsur fitnah seolah-olah tidak ada penghujungnya.

Kali ini, laman portal berita atas talian pro-BN, KLXPRESS melalui satu artikelnya mendakwa DAP akan memberikan RM50 kepada mereka yang hadir menyatakan solidariti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu hadapan.

Menafikan sekeras-kerasnya laporan berkenaan, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang,
Syerleena Abdul Rashid berkata, ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bagi menganggu-gugat keharmonian rakyat negara ini.

“Memandangkan pilihan raya umum yang ke-14 menjelang tiba, kita akan saksikan lebih banyak lagi fitnah yang akan dihamburkan.

“Sebagai peringatan, kita semua perlu berhati-hati dan menilai kesahihan sebarang maklumat yang kita tatapi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel bertajuk ‘Hadir Himpunan Solidariti, DAP Beri dedak RM 50’ yang disiarkan semalam itu turut disertakan dengan sebaran mesej melalui aplikasi Whatsapp seperti berikut:

“Selamat pagi. Datuk Seri Anwar akan berada di Mahkamah Tinggi George Town pada hari Isnin ini 9/1/17, jam pukul 8.30 am. anggota parti dan sukarelawan diminta tunjukkan sokongan dgn menyertai perhimpunan di situ. Adakah saudara boleh turut serta? Perkhidmatan bas dan makanan disediakan. Masa 8.30 am hingga 12 tengah Hari. Sila respon. Thanks”

Anwar dijangka hadir ke Pulau Pinang bagi menghadiri kes mahkamah bermula 9 hingga 11 Januari di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung saman beliau terhadap akhbar The New Straits Times.

Mengulas lanjut, Syerleena yang juga Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang berkata, portal berita itu harus memohon maaf dan menarik semula artikel tersebut jika didapati ia tidak bersandarkan fakta yang benar.

“Pihak KLXPRESS perlu menunjuk mesej Whatsapp asal yang juga mengandungi nombor penghantar sebagai bukti sekiranya mereka benar-benar mendapat mesej tersebut.

“Mereka juga mesti menarik balik tuduhan yang tidak berasas itu dan segera meminta maaf kerana cuai dan gagal untuk menonjolkan etika kewartawanan yang profesional,” katanya.

Tiga minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, difitnah kononnya menyokong keganasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar dan terbaru beliau yang juga Setiausaha Agung DAP turut dilemparkan tuduhan kononnya mahu menutup Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Beliau menafikan sekeras-kerasnya kedua-dua dakwaan itu, dan dua laporan polis telah dibuat bagi menggesa pihak berkuasa mencari dalang di sebalik penyebaran mesej-mesej palsu terbabit. – Roketkini.com


Tiada ulasan: