Khamis, 1 Disember 2016

ZAHID SINDIR NAJIB?

 shahbudindotcom

 

 
 
Dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO oleh Najib Razak tahun ini, nama yang paling kerap disebutnya ialah Tun Mahathir Mohamad.

Walaupun bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu bukan lagi ahli UMNO, namun Najib tetap memberi keutamaan dengan menyebut nama Tun Mahathir berulang-ulang kali.

Berbanding seorang lagi bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi, walaupun turut berada di Dewan Merdeka, beliau sebaliknya seolah-olah dilupakan begitu saja oleh Najib.

Ketika di media-media sosial mula terdengar kata-kata agar mereka yang bukan lagi ahli UMNO tidak perlu sibuk-sibuk memperkatakan tentang Perhimpunan Agung UMNO tahun ini, Najib malah seolah-olah menampakkan beliau "tidak boleh hidup" tanpa menyebut nama Tun Mahathir.

Tetapi dalam sidang media selepas Presiden UMNO itu  menyampaikan ucapan perasmiannya, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi nampaknya berbeza perkiraan dengan Najib.

Kata Zahid, perwakilan dan ahli UMNO tidak perlu mengagung-agungkan tokoh yang bukan lagi bersama dengan perjuangan parti itu kerana ia juga boleh membawa kesan sampingan yang lain.

"Jika nama seseorang itu diulang-ulang, walaupun dalam bentuk yang negatif, akhirnya nama yang sudah tenggelam itu akan muncul semula.

"Lagi diasak lagi akan muncul, maka adalah lebih baik untuk dilupakan saja," pesan Zahid lagi.

Kenapa Zahid memberi pesanan itu sedangkan beliau tahu Najib sendiri dalam ucapan peramiannya menyebut nama Tun Mahathir dengan banyak kali?

Apakah perwakilan dan ahli UMNO boleh mengabaikan daripada menyebut nama Tun Mahathir, walhal Najib sudah menyebutnya berulang-ulang kali dan seperti mahukan perwakilan serta ahli UMNO juga terus "membelasah" Pengerusi PPBM itu?

Adakah Zahid sedang cuba menguji pengaruhnya sama ada pesannya yang akan didengari oleh perwakilan dan ahli UMNO atau "signal"  daripada Najib yang mereka ikuti? 
 
 
 
 

Tiada ulasan: