Isnin, 5 Disember 2016

Wira PERKASA rela berkhemah dengan Orang Asli Hari ini,

MALAYSIAKINI
 
Sebagai langkah membela nasib malang yang membelenggu Orang Asli di Hutan Simpan Balah di Kelantan, Wira PERKASA Malaysia menyatakan kesanggupan mereka untuk berkhemah bersama kaum minoriti itu.

Janji itu dinyatakan Naib Ketua Wira PERKASA Malaysia, Mohamad Shahiran Safwan Che Mohd Asemari dalam kenyataanya hari ini.

Katanya kesediaan itu dibuat selepas mereka melihat pendirian kerajaan Kelantan yang didakwanya terus menerus menafikan hak kaum Orang Asli di negeri itu.

Mohamad Shahiran turut menggesa kerajaan Kelantan menghentikan menuduh bahawa bantahan Orang Asli itu berpunca daripada hasutan pihak luar.

“Dekatilah mereka dan selamilah rasa sayang dan cinta mereka terhadap hutan yang menjadi tempat tinggal mereka turun temurun. Pilihlah, nak lindungi orang asli atau tauke balak?

“Sekiranya mereka terus dibuli dan dihalang, kami sanggup berkhemah bersama kumpulan itu sehingga tuntutan mereka didengar oleh kerajaan Kelantan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa Orang Asli bertindak mempertahankan kawasan Hutan Simpan Balah di Gua Musang dengan mendirikan sekatan.

Bagaimanapun sebahagian daripada mereka ditahan dan direman.

Shahiran berkata pihaknya juga sanggup menyediakan khidmat peguam untuk Orang Asli terbabit jika nasib mereka terus tidak terbela.

“Wira PERKASA mendesak kerajaan negeri Kelantan tidak lagi mengeluarkan lesen untuk kegiatan pembalakan di kawasan tanah adat Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Kelantan seharusnya bersimpati pada nasib yang menimpa Orang Asli, bukannya hanya kepada etnik Rohingya yang ditindas pihak berkuasa Myanmar.

“Jika kerajaan Kelantan fikir mereka ada hak mutlak untuk memberi lesen pembalakan, Orang Asli pula ada hak terhadap tanah adat mereka. Ingat, Orang Asli juga diiktiraf dan dilindungi di bawah Perlembagaan Malaysia melalui Artikel 8(5)(c),” katanya.

Difahamkan lebih 80 peratus aktiviti pembalakan dilakukan berhampiran petempatan Orang Asli.

Jaringan Orang Asal Semalaysia (JOAS) sebelum ini mendakwa pembalakan skala besar di kawasan terbabit memberi kesan kepada kira-kira 13,000 orang dan melibatkan 17 pos Orang Asli.

Bukan itu saja, masyarakat Orang Asli di Kelantan turut mengancam untuk menolak kerajaan PAS dan Barisan Nasional jika hak mereka untuk mendapatkan tanah adat dan kawasan penempatan gagal diselesaikan.


Tiada ulasan: