Khamis, 15 Disember 2016

Waris tidak faham sistem faraid, nilai aset beku cecah RM60 bilion

 
 
Mohd. Zaidi Ismail
Mohd. Zaidi Ismail


Nilaian aset atau harta si mati yang tidak dituntut pewaris menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin berkata, berdasarkan data yang dikumpul, nilaian aset dibeku dari tahun 2006 berjumlah RM38 bilion dan meningkat sehingga RM52 bilion sehingga akhir tahun 2012.

Katanya, mengikut laporan dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pula angka itu meningkat kepada kira-kira RM60 bilion.

“Walaupun angka ini tidak memperincikan jumlah aset orang Islam atau bukan Islam, tetapi kita percaya kebanyakan aset itu adalah milik orang Islam. Aset ini melibatkan hartanah seperti rumah, tanah, wang yang tidak dituntut dalam pelbagai institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji (TH), Amanah Raya Berhad (ARB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB),” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Seminar Faraid dan Perancangan Pewarisan: Isu Harta Beku dan Penyelesaiannya di Malaysia di Dewan Besar IKIM, di sini, hari ini.

Teks ucapanya beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail.

Dr. Azizan turut menolak masalah berkaitan peningkatan aset yang tidak dituntut itu berpunca daripada sistem faraid.

Katanya, untuk mengaitkan isu itu dengan sistem berkenaan adalah satu hujah yang amat lemah.

“Faraid adalah satu sistem pewarisan yang lengkap dan menyeluruh, di mana Allah Yang Maha Bijaksana telah menentukan siapa yang berhak menerima pusaka. Bukan itu sahaja, Allah juga telah menentukan bahagian atau jumlah saham bagi setaip waris yang berhak,” katanya.

Menurut beliau, ramai cendekiawan bukan Islam seperti Prof. Almaric Rumsey dari King’s College, London (1825-1899) mengakui kesyumulan dan kecemerlangan sistem faraid serta menulis mengenai subjek berkaitan undang-undang pewarisan Islam.

Azizan turut menjelaskan, antara faktor aset tidak dituntut adalah disebabkan tidak ada kesedaran mengenai kepentingan perancangan pewarisan dalam kalangan umat Islam, selain kejahilan waris mengikut prosedur yang perlu diikuti dan waris juga dikatakan bersikap tidak peduli.

“Ada antara waris tidak peduli untuk menuntut hak mereka kerana mungkin disebabkan masalah kekurangan masa, kos tinggi terpaksa ditanggung dan berdepan dengan proses birokrasi yang agak sukar.
Proses pengagihan harta menjadi lebih rumit dalam isu waris bertindih dan dalam masalah berkaitan penipuan serta pertikaian di kalangan waris,” katanya.

Ujar beliau, apa yang umat Islam perlu sedari walaupun sistem faraid adalah suatu yang wajib dipatuhi, tetapi mereka juga harus ketahui terdapat banyak faktor lain yang pewaris lalui sebelum harta dibahagikan selepas kematian.-- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: