Jumaat, 9 Disember 2016

UPSR dikekalkan tahun depan, kata menteri

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
BATU PAHAT: Kementerian Pendidikan akan mula mengumpul maklum balas daripada ibu bapa dan warga pendidik pada tahun hadapan mengenai cadangan pelaksanaan format sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan format sedia ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
 
Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan format ini akan menyaksikan pemansuhan UPSR dan juga pentaksiran berasaskan 3 faktor iaitu dari segi akademik, jasmani, sukan dan kokurikulum dan psikometrik, seperti Pentaksiran Tingkatan Tiga.
 
“Kami harap dapat mengumpul semua maklum balas itu dalam masa 6 bulan akan datang,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Parit Sulong di Maktab Rendah Sains Mara Batu Pahat, di sini hari ini.
 
Mahdzir berkata, melalui UPSR pelajar dinilai hanya menerusi pencapaian akademik manakala dengan format PBS, beberapa aspek lain akan turut dititikberatkan.
 
“Kalau pelajar akademiknya baik, kokurikulum baik, sukan baik, kemudian sahsiah diri baik, (PBS) akan menilai semua sekali. Itulah penilaian yang lengkap untuk semua pelajar,” katanya.
 
Ketika ditanya bila pelaksanaan format PBS dijangka dilaksanakan, Mahdzir berkata ia mungkin akan dilaksanakan dalam 5 tahun lagi.
 
“Ia (pemansuhan UPSR) tidak akan dilaksanakan tahun hadapan kerana kementerian perlu mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan terlebih dahulu.
 
“Bagaimanapun, ia terpulang kepada maklum balas masyarakat khususnya ibu bapa sama ada mereka mahukan PBS atau UPSR yang berasaskan peperiksaan,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: