Jumaat, 30 Disember 2016

Tindakan kunci tayar mulai 1 Sept - DBKL

astro awani


Tindakan kunci tayar mulai 1 Sept - DBKL
Mohd Amin berkata tindakan tegas itu akan dilaksanakan di seluruh ibu kota terutama di jalan-jalan utama kawasan tumpuan atau pelancongan. -Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan mengunci tayar kenderaan yang diletakkan sesuka hati sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas bermula 1 Sept.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata tindakan tegas itu akan dilaksanakan di seluruh ibu kota terutama di jalan-jalan utama kawasan tumpuan atau pelancongan.

Kawasan itu ialah Jalan Masjid India, Jalan Tun Sambanthan (Brickfield), Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Jalan Bulan, Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Chow Kit, Jalan Kenanga, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Solaris Mont Kiara dan Jalan Klang Lama.

"Pelaksanaan ini dilakukan berdasarkan kajian dan penelitian Pemudah (Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan) DBKL yang mendapati sikap pengguna meletak kenderaan secara tidak bertanggungjawab ini menjadi antara punca utama kesesakan lalu lintas.

"Dari Januari hingga Julai tahun ini sebanyak 746,185 kompaun telah dikeluarkan kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas, 232,726 kepada kenderaan yang tidak membayar caj parkir serta 4,857 ditunda kerana kesalahan parkir, jadi tindakan lebih tegas perlu diambil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Kuala Lumpur Low Carbon Society Blueprint 2030 di sini hari ini.

Mhd Amin berkata pemilik kenderaan perlu hadir dan menjelaskan bayaran denda berjumlah RM50 dalam tempoh empat jam tayar kenderaan dikunci bagi tuntutan semula sebelum tindakan menunda diambil dengan denda RM100 dikenakan.

Pelaksanaan undang-undang itu adalah di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

Tiada ulasan: