Jumaat, 23 Disember 2016

Syed Saddiq serah habuan debat RM10,000 kepada 4 mahasiswa digantung UM

 DALIA ISMAIL
 
 
Tinggal kenangan: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tiga dari kiri) memperoleh RM10,000 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Razak (dua dari kiri) ketika menerima Anugerah Belia Negara setahun lalu.Tinggal kenangan: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tiga dari kiri) memperoleh RM10,000 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Razak (dua dari kiri) ketika menerima Anugerah Belia Negara setahun lalu.


Atas semangat kebebasan bersuara Pendebat Terbaik Asia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sanggup menyerahkan habuan pernah diterimanya sebanyak RM10,000 kepada empat aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang digantung pengajian kerana terbabit dalam demonstrasi Tangkap MO1.

Beliau yang memperoleh wang sebanyak itu ketika menerima Anugerah Perdana Belia Negara setahun lalu atas kejayaan memenangi Pendebat Terbaik Asia sebanyak tiga kali. Debat yang memperjuangkan hak kebebasan bersuara.

"Setahun yang lalu, saya berkesempatan untuk berjabat tangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak apabila mendapat Anugerah Perdana Belia Negara atas berkat sokongan dan dorongan dari Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

"Saya pernah disoal oleh media tentang wang berjumlah RM10,000 yang saya terima.

"Saya berjanji bahawa saya akan gunakan wang tersebut untuk memperjuangkan hak kebebasan bersuara kerana itulah sebab asal saya memperolehi anugerah itu.

"Setahun sudah berlalu dan sehingga hari ini saya masih belum menggunakan wang tersebut," ujarnya dalam satu kenyataan.

Pada 9 Disember lalu, UM telah menjatuhkan hukuman bersalah di bawah Akta Universiti dan Koleh Universiti (AUKU)1971 terhadap empat penuntutnya yang terlibat dalam himpunan Tangkap MO1.

Mereka adalah Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (Kesatuan), Anis Syafiqah Md Yusof yang juga pelajar Fakulti Bahasa dan Linguistik serta tiga mahasiswa Akademi Pengajian Islam iaitu Suhail Wan Azahar, Luqman Nul Haqim Zul Razali dan Muhammad Luqman Hakim Fazli.

Kata Syed Saddiq lagi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin benar-benar menghormati hak-hak rakyat untuk memberikan kebebasan bersuara di kalangan orang muda haruslah membuktikannya.

"Datuk Seri Najib yang dulunya mengucapkan tahniah kepada saya kerana berjaya mengharumkan nama negara atas dasar bahas kini bermati-matian menjahit mulut rakyat yang berani melawannya.

" Yb Khairy pula berhentilah bersekongkol dengan mereka yang menyekat kami - terutama sekali golongan muda. Kotakan janji YB untuk membenarkan kami bersuara. Pemimpin yang hebat akan mendengar suara rakyatnya, bukan sekadar bergambar dan berselfie bersama rakyat.

"Pemimpin yang adil tak akan gentar dengan ugutan. Tak akan lari dari kritikan," ujarnya.

Syed Saddig yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, walaupun empat mahasiswa itu tidak menyertai mana-mana parti politik tetapi kehadiran aktivis muda ini yang inginkan hak kebebasan bersuara perlu diberikan perhatian terhadap masalah dihadapinya.

"Mereka aset negara yang harus didukung, bukan ditindas. Merek ada wira dan wirawati Malaysia.

"Atas dasar janji yang telah saya berikan setahun lepas, saya akan menyumbangkan RM10,000 yang saya terima kepada Anis Syafiqah (wakil) untuk digunakan bagi memperjuangkan hak kebebasan bersuara.

"Saya bukanlah kaya dan tidak datang dari keluar yang kaya. Tetapi saya percaya sumbangan ini merupakan salah satu pelaburan untuk pemerkasaan kuasa anak muda yang bakal mencorakkan negara tercinta.

"Sejak saya giat aktif dalam dunia politik, saya sudah pun membelanjakan lebih 30% daripada simpanan saya. Saya telah kehilangan dua pekerjaan dan pelbagai layanan buruk terhadap ahli keluarga dan saya sendiri. Walaupun menyakitkan dan menyukarkan tetapi saya tetap meneruskan perjuangan ini," ujarnya.

Dana bantu aktivitis mahasiswa

Syed Saddiq juga menyeru orang ramai untuk mengumpulkan dana bagi membantu mana-mana aktivis muda yang berjuang atas nama hak kebebasan bersuara.

Sumbangan boleh terus dilakukan ke:
Pemegang Akaun: DEMA MANAGEMENT
Nombor Akaun: 1407-3001-0122-676
Nama Bank: ALLIANCE BANK MALAYSIA BERHAD
Sebarang pertanyaan boleh terus berhubung dengan wakil KESATUAN, Saudari Nur Liana Abd Latif di talian: 011-1220 2456.

Tiada ulasan: