Rabu, 7 Disember 2016

Superman’ DAP Masih Ditugaskan Beri Ceramah




supermandap


KUALA LUMPUR – Rakyat tidak boleh diperbodohkan oleh DAP kononnya parti itu tidak bersikap perkauman hanya kerana seorang pemimpin kanannya, Hew Kuan Yau yang juga digelar sebagai ‘Superman’ DAP telah meletakkan jawatan pada Julai lalu.


Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, DAP sebaliknya sewaktu mula-mula video ceramah Kuan Yau bertajuk ‘Let Malays screw the Malays’ tersebar di media sosial seolah-olah cuba mempertahankan pemimpinnya itu.

Kata beliau, DAP pada waktu itu mendakwa kononnya ceramah oleh Kuan Yau cuma satu ceramah yang kasar sewaktu Pilihan Raya Negeri Sarawak dan bukannya ceramah yang berunsur perkauman.

“Lagipun Kuan Yau sendiri mendakwa dia telah memberi lebih 500 ceramah di pelbagai majlis DAP yang kebanyakannya kasar dan berkemungkinan berunsur perkauman seperti dalam video tersebut sepanjang tahun ini.

“Sekarang DAP cuba mengalihkan semua tanggungjawab itu kepada kepada Kuan Yau seorang dengan mendakwa beliau bukan lagi ahli DAP dan satu sejarah. Bagaimanapun tiada seorang pun akan tertipu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Teck Meng turut mendedahkan Kuan Yau sebenarnya masih terus memberikan ceramah di majlis berkait DAP antaranya di Sandakan, di Raub untuk kempen Selamatkan Guan Eng, di Sungai Long dan banyak lagi.

Malah, kata beliau, Kuan Yau yang bukan berasal dari Pulau Pinang masih memegang jawatan sebagai kurator Komik Asia Muzium Kebudayaan Pulau Pinang yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Kata beliau, hal tersebut jelas menunjukkan peletakan jawatan Kuan Yau cuma satu wayang kerana beliau masih melakukan tugas yang sama seperti diamanahkan DAP kepadanya sebelum ini.

Tegas beliau, Kuan Yau sepatutnya dihalang terus daripada memberi sebarang ceramah di majlis DAP atau Pakatan Harapan atau apa-apa majlis dihadiri pemimpin DAP sekiranya parti itu benar-benar tidak berunsur perkauman.

“DAP juga sepatutnya memecat Kuan Yau daripada jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang. Sudah tiba masanya untuk DAP bertanggungjawab terhadap kebencian dan unsur perkauman yang disebarkan oleh `ketua ceramah’ parti itu selama ini,” katanya. MYNEWSHUB.CC

Tiada ulasan: