Rabu, 7 Disember 2016

PRU14 dijangka selepas sambutan Hari Kebangsaan ke-60

lim kit siang

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Pilihanraya Umum ke-14 dijangka berlangsung pada bulan September tahun hadapan, selepas perayaan Hari Kebangsaan ke-60.

Meramalkan perkara tersebut, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang percaya bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga harus terlebih dahulu membatalkan kelayakan bertanding Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan memenjarakannya.

“Tarikh yang ditetapkan untuk membicarakan kes Guan Eng adalah petunjuk utama PRU ke-14.

“Ini kerana Najib akan mahu mendapatkan hukuman salah terlebih dahulu agar dapat membatalakan kelayakan Guan Eng bertanding dalam PRU14 bagi menghalang beliau daripada terus menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan.

Semalam, Hakim Datuk Hadariah Syed Ismail menetapkan tarikh perbicaraan kes tersebut adalah 27 hingga 31 Mac, 10 hingga 14 April, 24 hingga 28 April, 15 hingga 19 Mei, 29 Mei hingga 2 Jun, 13 hingga 16 Jun, dan 17 hingga 21 Julai.

Pihak pendakwa dilaporkan mempunyai senarai 60 orang saksi selain dokumen setebal 13 ribu muka surat.

“Dengan tempoh 34 hari untuk perbicaraan Guan Eng sehingga hujung Julai, ini merupakan petanda bahawa PRU ke-14 akan mungkin berlangsung selepas perayaan Hari Kebangsaan ke-60,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com


Tiada ulasan: