Khamis, 15 Disember 2016

PPBM minta belas ihsan kerusi PH, bukti mereka hanya 'penumpang'

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Umno menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya menjadi 'penumpang' dalam Pakatan Harapan dan mengharapkan belas kasihan pembangkang yang lain dalam soal pembahagian kerusi pilihan raya akan datang.
 
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Annuar Nasarah berkata meskipun PPBM diterajui bekas pemimpin tertinggi Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi jelas parti itu bukan kekuatan utama pembangkang.
 
"Pada saya semua ini adalah kerana mereka tiada pilihan dan mesti bersama "menumpang kasih" dalam Pakatan Harapan demi mengelakkan PPBM menemui jalan mati.
 
"Kenyataan TSMY bahawa PPBM mengharapkan rakan rakannya yang lain memberikan kerusi kepada PPBM dalam PRU14 akan datang jelas menunjukan bahawa, PPBM bukan pemain utama dalam Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi Whats App kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian bagi mengulas 'formula' yang digunapakai antara Pakatan Harapan dan PPBM bersabit pembahagian kerusi berdasarkan prinsip kebolehmenangan seseorang calon itu.
 
Semalam pembangkang mengikat perjanjian untuk meletakkan satu calon mewakili gandingan itu untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Justeru katanya, perjanjian ini jelas membuktikan bahawa PPBM bakal mengikut telunjuk DAP dan parti itu tidak akan mendapat sebarang keistimewaan.
 
Malah katanya lagi, lebih banyak kesukaran akan dilalui disebabkan perbezaan ideologi politik yang dibawa mereka.
 
"Banyak lagi masalah yang belum selesai yang bukan hanya melibatkan soal agihan kerusi tetapi juga berkaitan soal. Bertanding atas satu lambang, satu parti dan sebagainya. 
 
"Saya fikir ia sesuatu yang sukar untuk dilakukan kerana masing masing di haluan yang berbeza," ujarnya.
 
Sehubungan itu, Annuar menyeru rakyat supaya tidak terpedaya dengan perjanjian seumpama ini yang belum tentu menjamin masa depan mereka.  
 
"Pada rakyat, jangan perjudikan masa depan negara dengan memilih parti seumpama ini. 
 
"Bayangkan jika soal agihan kerusi, lambang dan parti pun tiada persefahaman sepenuhnya bagaimana nanti soal lain," soal beliau.

Tiada ulasan: