Ahad, 11 Disember 2016

Penyakit 'ding dong' dalam PAN menyusahkan jentera - Perwakilan

 
 
Jamzuri Ardani
Jamzuri Ardani
 
 
Sikap ‘ding dong’ atau tarik tali kepimpinan Parti Amanah Negara (PAN) dalam membuat sesuatu keputusan menyebabkan ahli berasa bosan dan parti itu tidak akan ada hala tuju masa depan yang baik.
 
Pembahas PAN Selangor, Jamzuri Ardani memberi contoh, antara yang membosankan ialah sikap berlengah pemimpin dalam persiapan menghadapi pIlihan raya.
 
"Parti lain apabila tiba pilihan raya sudah bersiap sedia dengan jentera, calon dan kawasan bertanding. Mereka dengan jentera dan pengundi cuma menunggu tarikh pilihan raya sahaja.
 
"Tetapi Amanah masih ‘ding dong’. Tak tahu nak bertanding atau tidak. Tak tahu nak lantik siapa calon dan bertanding di kawasan mana. Tak tahu nak bersetuju atau tidak guna satu logo.
 
"Semuanya masih tarik tali, sedangkan tempoh (pilihan raya) sudah dekat,” katanya pada sesi perbahasan yang masuk hari kedua dan terakhir Konvensyen Nasional PAN di Shah Alam, hari ini.
 
Menurut Jamzuri, beliau mahu pucuk pimpinan bertindak segera atau membuat keputusan berani dengan mengumumkan calon, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen lebih awal.
 
Ini katanya, memudahkan jentera untuk turun bekerja menarik sokongan pengundi dan memberi kemenangan kepada calon PAN.
 
Jelasnya, beliau tidak mahu kesilapan Datuk Husam Musa bertanding di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRu13) berulang lagi.
 
"Dia kata nak ke Putrajaya. Tapi kerana sikap ding dong.. ding dong akhirnya dia kalah sebab bila tarikh mengundi dah dekat baru buat keputusan (nak bertanding)," tegasnya.
 
Jamzuri berkata, sebagai sebuah parti yang baharu ditubuhkan, dengan dana dan sumber yang serba terhad akan membantutkan usaha jentera untuk turun bekerja jika pihak atasan bermain ding dong.
 
Ujar beliau, semua kerja ke arah mempersiapkan diri dalam menghadapi pilihan raya sepatutnya dimulakan ketika parti itu diumumkan kelulusan oleh pihak pendaftaran, bukan tiga atau empat bulan hendak tamat tempoh PRU13.
 
"Pihak atasan hanya berceramah. Kita di bawah yang turun bekerja kempen daftar pengundi, kempen tarik anak-anak muda. Semua ini perlukan masa," katanya.
 
Beliau mengakhiri perbahasannya yang mendapat tepukan gemuruh para perwakilan yang hadir itu dengan sebuah pantun: "Di sebelah sana politik dedak, di sebelah sini ding dong, akhirnya rakyat muak, politik kong kalikong,". - MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: