Rabu, 14 Disember 2016

Negeri Sembilan Tidak Naikkan Cukai Pintu Bagi 2017

MALAYSIAN DIGEST


 
SEREMBAN: Tarif cukai pintu di Negeri Sembilan tidak akan dinaikkan bagi 2017 walaupun terdapat kenaikan nilai hartanah di beberapa kawasan tertentu di negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata meskipun tindakan itu bakal memberi impak dari segi perolehan, keputusan itu tetap dibuat bagi mengurangkan bebanan masyarakat yang ketika ini berdepan kos sara hidup yang tinggi.

"Berdasarkan pembentangan penilaian harta dibuat seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dalam mesyuarat tadi, terdapat peningkatan setiap tahun harga hartanah di kawasan Majlis Perbandaran Seremban, Majlis Perbandaran Nilai, Majlis Perbandaran Port Dickson, Majlis Perbandaran Jempol dan Majlis Perbandaran Tampin...memang harga tanah naik melonjak.

"Tindakan ini bakal menjejaskan kos penyelenggaraan termasuk kos emolumen juga meningkat menyebabkan PBT menghadapi isu kurang pendapatan tahunan, namun kerajaan sudah putuskan tidak akan ada kenaikan cukai pintu.

"Dalam keadaan sekarang, sebarang kenaikan cukai atau cukai pintu tidak kena pada masanya...kita tidak mahu membebankan lagi rakyat," katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Mohamad berkata walaupun perolehan tidak meningkat, tahap perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat perlu dijaga, malah boleh dipertingkatkan.

"Tidak semestinya perolehan kita tidak bertambah, tahap perkhidmatan juga tidak boleh dipertingkat...kita boleh tingkatkan lagi perkhidmatan contohnya dalam urusan pungutan sampah dan berkaitan. Saya yakin tidak akan mengganggu atau mengurangkan tahap perkhidmatan kepada masyarakat.

"Saya yakin cara kita mempertingkatkan perkhidmatan melalui dasar kita memakmur negeri, mensejahterakan rakyat dan cara kita memberi perkhidmatan itu sendiri akan dilihat dan diubahsuai supaya yang penting perkhidmatan dapat dilihat dan memberi kemudahan kepada orang ramai," katanya.

Mohamad turut mengumumkan pengecualian bayaran permit niaga kepada penjaja akan diteruskan sehingga akhir 2017.

"Ia melibatkan penjaja biasa yang jenis buka payung dan bukan tetap seperti peniaga pasar malam. Bagaimanapun lesen berniaga tetap diperlukan tetapi hanya bayaran permit dikecualikan," katanya.
- Bernama


Tiada ulasan: