Sabtu, 17 Disember 2016

'Najib kadang-kadang tidak tahu dia PM'

 ARIF ATAN

Presiden Amanah Mohamad Sabu menyampaikan pidato di Konvensyen Amanah Nasional kali pertama di Shah Alam hari iniPresiden Amanah Mohamad Sabu menyampaikan pidato di Konvensyen Amanah Nasional kali pertama di Shah Alam hari ini


Datuk Seri Najib Razak dilihat keliru dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berhubung pendekatannya dalam menuntut keganasan terhadap etnik Rohingya dihentikan.

Menurut Presiden Amanah, Mohamad Sabu, pemimpin negara itu harus menggunakan kuasanya yang lebih wajar berbanding sekadar himpunan.

"PM juga bertindak ajak demo sedangkan dia pimpinan kerajaan.

"Dia boleh panggil duta Myanmar atau mengusir diplomat kerajaan Myanmar atau paling tinggi, panggil sidang OIC.

"Turun tunjuk perasaan itu kerja aku. Dia tak tahu kadang-kadang dia PM ke atau tidak," bidasnya diikuti tepukan dan ketawa perwakilan yang memenuhi dewan SACC di Shah Alam hari ini.

Beliau yang menyampaikan pidatonya dalam Konvensyen Nasional Amanah juga menyifatkan hal berkaitan diplomatik bukan melalui jalan raya.

"Berucap (Himpunan Solidariti Rohingya) sikit-sikit takbir, sekarang semua takbir dah. Inilah kita lihat, nak kata tak cerdik, cerdik.

"Kalau tak cerdik, bagaimana boleh sembunyikan wang. Hal diplomatik ajak turun ke jalan raya. 'Kawannya' pun serupa juga," sindirnya merujuk kepada Pas.

Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu turut secara sinis menggambarkan gejala rasuah yang membarah di negara ini.

"Buka Pejabat Pengarah Bekalan Air Sabah ada berjuta wang. Buka Seri Perdana ada 24 lori wang tunai," bidasnya lagi.

Sempena konvensyen sulung parti berusia setahun itu, Amanah bakal membentangkan lima tawarannya kepada rakyat Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Turut hadir dalam konvensyen ini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir serta wakil diplomat asing.

Tiada ulasan: