Isnin, 26 Disember 2016

M'sia minta lebih banyak maklumat pengguna FB

MALAYSIAKINI



Putrajaya telah membuat lebih banyak permintaan untuk mendapatkan maklumat pengguna dari Facebook dalam separuh pertama tahun ini berbanding keseluruhan tahun lepas.

Kerajaan Malaysia membuat 19 permintaan untuk mendapatkan maklumat 35 akaun pengguna dari Januari hingga Jun tahun ini, menurut Laporan Permintaan Facebook Kerajaan.

Sebagai perbandingan, Malaysia hanya membuat 17 permintaan tahun lepas untuk mendapatkan maklumat tentang 25 pengguna.

Daripada semua permintaan yang dibuat pada separuh pertama tahun 2016, Facebook mendedahkan 68.4 peratus maklumat berhubung permintaan itu.

"Sebagai sebahagian daripada siasatan rasmi, pegawai kerajaan kadang-kadang meminta data mengenai individu yang menggunakan Facebook. Sebahagian besar daripada permintaan ini berkaitan dengan kes-kes jenayah seperti rompakan atau penculikan.

"Dalam banyak kes, kerajaan meminta maklumat asas pelanggan seperti nama dan tempoh perkhidmatan. Permintaan juga boleh meminta log alamat IP atau kandungan akaun," tulis Facebook dalam penerangan laporan.

Laporan itu tidak menyatakan dengan jelas tujuan setiap permintaan kerajaan itu.

Di kalangan negara Asean, Malaysia menjadi nombor ketiga paling banyak membuat permintaan sedemikian bagi separuh pertama tahun ini.

Singapura membuat permintaan yang paling banyak dengan 233 diikuti oleh Indonesia dengan 21 permintaan.

Tiada ulasan: