Isnin, 19 Disember 2016

MB mahu bekalan air pulih sebelum Krismas




Selangor mengaku bersetuju supaya kerja penyelenggaraan pencawang masuk utama TNB di Bukit Badong, Kuala Selangor ditangguhkan sebelum ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali berkata penangguhan penyelenggaraan itu - yang sepatutnya dilakukan pada 27 September lalu - terpaksa dilakukan atas beberapa alasan.

Katanya, ia juga dibuat dengan persetujuan bersama antara kerajaan negeri dan TNB.

"Ketika itu kita mahu selesaikan kerja-kerja di projek Langat 2, selain ia kebetulan sekolah sedang bercuti, sebahagian pelajar pula sedang mengambil peperiksaan.

"Maka kerajaan negeri berasa sesuai untuk ia ditangguhkan," katanya kepada media selepas majlis perasmian dan pelancaran program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu di Shah Alam hari ini.

Namun kata Azmin, ketika ini kerajaan negeri berpendapat ia tidak lagi boleh ditangguhkan kerana jika penyelenggaraan tidak dilakukan sekarang, ia mungkin menyebabkan kerosakan dan tempoh pembaikan mungkin memakan masa sehingga satu bulan.

Dianggarkan seramai 3.89 juta pengguna air di sekitar Lembah Klang menghadapi gangguan bekalan mulai hari ini ekoran kerja penyelenggaraan pencawang TNB di Bukit Badong itu.

Ada isu teknikal

Gangguan itu melibatkan 707,759 akaun di 814 kawasan di sekitar Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini memaklumkan kerja penyelenggaraan TNB dan henti tugas berkenaan akan dilaksanakan selama 16 jam mulai 8 pagi.

Ia sekali gus menjejaskan operasi di loji rawatan air utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang.

Gangguan berkenaan dijangka berlaku sehingga 24 Disember ini.

Menurut Azmin kerajaan negeri meminta proses penyelenggaraan itu disiapkan secepat mungkin dan bekalan dipulihkan sebelum sambutan Krismas pada 25 Disember.

"Dasar kerajaan negeri ialah tidak mahu menyusahkan rakyat hingga tempoh yang lama, khususnya dalam tempoh percutian dan sambutan Krismas.

"Saya tak mahu kerja-kerja ini mengganggu sambutan Krismas," katanya.

Untuk itu kata Azmin pihaknya akan berbincang dengan TNB bagi menyegerakan proses tersebut.

"Ada isu teknikal yang perlu diselesaikan," katanya.

Tiada ulasan: