Jumaat, 9 Disember 2016

Lembaga tatatertib UM putuskan Anis Syafiqah bersalah anjur #TangkapMO1

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Panel Tatatertib Universiti Malaya (UM) hari ini memutuskan bahawa Anis Syafiqah Mohd Yusof bersalah atas tiga pertuduhan menganjurkan perhimpunan Tangkap Malaysian Official 1 pada Ogos lalu.
  
Beliau didapati bersalah: mengadakan, menganjurkan dan memanggil suatu perhimpunan Tangkap Malaysian Official 1; merosakkan dan memudaratkan kepentingan, kesejahteraan serta nama baik UM kerana menyertai himpunan haram; dan merosakkan dan memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam, moral, kesopanan serta tatatertib kerana menyertai himpunan tersebut.
 
“Setelah selesai sambungan prosiding selama 2 jam, pihak Panel Tatatertib UM telah memutuskan bahawa saya bersalah atas kesemua pertuduhan.
 
“Hukuman tatatertib akan dimaklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari dari sekarang,” kata Anis dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook.
 
Beliau berdepan hukuman denda RM200, penggantungan, pemecatan atau amaran.
 
Pada September, pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia bersama tiga siswa lain diberi surat tunjuk sebab oleh pentadbiran Universiti Malaya susulan pembabitan mereka dalam tunjuk perasaan #TangkapMO1.
 
#TangkapMO1 bertujuan mendesak polis menyiasat dan menangkap individu misteri yang disebutkan sebagai Malaysian Official 1 dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
 
Tiga siswa UM lain yang berdepan tindakan tatatertib ialah Mohamad Luqman Nul Haqim, Muhammad Luqman Hakim Fazli dan Suhail Wan Azahar.
 
Pada November, siswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Asheeq Ali digantung 1 semester dan didenda RM200 juga kerana terbabit dalam #TangkapMO1.
 
Asheeq juga didakwa memalukan nama baik universiti dan melakukan kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman (2012) kerana menyertai perhimpunan haram.
 
 

Tiada ulasan: