Sabtu, 24 Disember 2016

Lebih 10 rumah rosak akibat ribut di Jasin

MALAYSIAKINI



Lebih 10 rumah di Kampung Lipat Kajang di sini mengalami kerosakan apabila bumbung diterbangkan angin dalam kejadian ribut semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lipat Kajang Ibrahim Rasol, 60, berkata tiada mangsa yang cedera dalam kejadian ribut dan hujan lebat itu pada kira-kira jam 5.15 petang.

"Turut mengalami kerosakan ialah gerai-gerai makanan dan bengkel kimpalan akibat angin kencang manakala beberapa pokok tumbang hingga mengakibatkan bekalan elektrik terputus," katanya kepada Bernama malam tadi.

Susulan kejadian itu, katanya tiga rumah terjejas teruk dan tidak dapat dihuni menyebabkan satu keluarga terpaksa ditempatkan di balai raya di kampung itu malam tadi.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan bancian dan nilai kerugian.

Ibrahim berkata terdapat pelbagai agensi tampil memberikan bantuan dan perkhidmatan bagi meringankan beban yang dihadapi penduduk kampung itu akibat bencana itu.

"Antaranya ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Rim Datuk Ghazale Muhamad yang juga merupakan Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau Melaka kerana sudi meluangkan masa melawat mangsa yang terjejas.

"Pihak Tenaga Nasional Berhad turut menyambung semula bekalan elektrik yang terputus selain Jabatan Kebajikan Masyarakat, Telekom Malaysia, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah Jasin serta Majlis erbandaran Jasin tampil memberi sumbangan," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: