Sabtu, 24 Disember 2016

Khairy nafi serah surat letak jawatan berhubung isu 1MDB

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menafikan beliau mengemukakan surat peletakan jawatan berhubung isu 1MDB seperti didakwa oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Apa yang beliau kata, mengenai saya hantar surat peletakan jawatan, adalah tidak benar.

"Ketika beliau masih bersama Umno... Kita berjumpa, dan kadang-kadang dia menziarahi saya dan kami membincangkan isu-isu semasa, itu sahaja," katanya kepada pemberita di sini.

Mukhriz, yang kini Timbalan Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM), dilaporkan sebagai berkata Khairy mahu berundur kerana tidak puas hati dengan penjelasan mengenai isu 1MDB.

Menurut Khairy, beliau tidak faham mengapa Mukhriz mengeluarkan kenyataan seumpama itu, tetapi mungkin ia berkaitan perpaduan yang kuat ditunjukkan oleh ahli Umno pada perhimpunan agung tahun ini.

Awal bulan ini, Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah, dalam sebuah ceramah perdana sempena majlis perasmian ibu pejabat PPBM Kedah, mendedahkan Khairy pernah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Beliau mendakwa peletakan jawatan itu dibuat kerana Ketua Pemuda Umno itu tidak bersetuju dengan penjelasan yang diberikan berhubung isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion pada tahun lalu.


Tiada ulasan: