Khamis, 15 Disember 2016

'Ketagihan arak, gam di kalangan Orang Asli di Baling serius'

Bernama



Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Daerah Baling di Kedah dan pihak berkuasa berkaitan mengambil

tindakan segera terhadap pihak yang menjual arak dan gam secara haram kepada masyarakat Orang Asli di kawasan itu.

Presidennya S.M. Mohamed Idris berkata, kegiatan tersebut telah menyebabkan jumlah kanak-kanak dan wanita komuniti itu yang ketagihan minuman keras dan menghidu gam semakin meningkat.

"Kajian menunjukkan bahawa lebih 30 kanak-kanak berumur sembilan hingga 15 tahun meminum arak dan menghidu gam yang dibeli dari sebuah kedai di Kampung Lalang," kata beliau dalam satu kenyataan, di George Town hari ini.

Beliau berkata CAP juga mendapati bahawa ada orang luar datang ke kampung-kampung di Baling untuk menjual bahan-bahan ini secara haram kepada penduduk Orang Asli di sana.

"Setin gam dan sebotol arak dijual pada harga RM5 dan penduduk yang ketagihan membelanjakan sehingga RM25 seorang dalam masa sehari," katanya.

Mohamed Idris berkata penagihan arak dan menghidu gam boleh memudaratkan kesihatan dan kehidupan penduduk di kampung-kampung tersebut.

Beliau juga menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kementerian dan agensi kerajaan berkaitan mengambil tindakan serta melancarkan program kesedaran untuk menangani isu sosial ini.

"Program kesedaran mengenai kesan buruk meminum arak dan menghidu gam hendaklah dijalankan secara aktif dan meluas di kalangan penduduk dan komuniti di kawasan tersebut," kata beliau.

Perbuatan menghidu gam boleh menyebabkan kerosakan otak yang kekal dan juga boleh menyebabkan kematian. -Bernama


Tiada ulasan: