Sabtu, 31 Disember 2016

Kereta 'terbang', pemandu tiada lesen


Kereta 'terbang', pemandu tiada lesen
Orang ramai meninjau keadaan kereta yang terbabas ke bawah jambatan Tangok petang semalam.


BACHOK – Sebuah kereta Proton Satria ‘terbang’ ke bawah jambatan Tangok sehingga menggemparkan penduduk setempat petang semalam.

Timbalan Ketua Daerah Bachok, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar berkata, kereta itu dinaiki empat remaja berusia 16 hingga 20 tahun yang dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Melawi menghala ke arah Jelawat.

Beliau berkata, maklumat awal mendapati kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan terbabas jatuh ke bawah jambatan Tangok.

“Kami menerima panggilan  kira-kira jam 4.05 petang yang memaklumkan terhadap sebuah kereta terbabas ke bawah jambatan Tangok. Kereta itu dipandu seorang lelaki Melayu berusia 20 tahun yang dipercayai tidak mempunyai lesen memandu.

“Penumpangnya sebelah kiri pemandu seorang wanita berusia 16 tahun seorang pelajar sekolah di Kota Bharu. Manakala penumpang di belakang pula seorang lelaki dan wanita berusia 16 tahun yang dikatakan pelajar dari sekolah berdekatan. Semua mangsa cedera di bahagian kepala dan beberapa anggota lain,” katanya.

Azmi berkata, ketika kejadian itu berlaku di jalan lurus, lalu lintas agak sibuk namun cuaca baik.

Beliau berkata, semua mangsa berada di hospital Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Tiada ulasan: