Sabtu, 31 Disember 2016

Kenapa saya pula kena siasat?

 NOR AZIHAN MD GHAZALI
 
 
Kenapa saya pula kena siasat?
Mohamed Azmin menunjukkan salinan kenyataan polis dan keratan akhbar selepas memberikan keterangan di IPD Shah Alam. - Foto: Afiq Razali
 

SHAH ALAM - "Saya hanya minta siasat bagaimana anak ketua polis negara memperoleh lesen perniagaan senjata api, sebaliknya kenapa saya pula yang disiasat?," soal Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebaik selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, semalam.

Beliau tiba di IPD itu jam 5 petang ditemani peguam, N Surendran dan Latheefa Koya serta puluhan penyokong daripada PKR serta Bersatu.

Pada masa sama, beliau meluahkan rasa kecewa dengan tindakan polis merakamkan keterangannya atas satu pertuduhan selepas pihaknya mengkritik anak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Sebenarnya rakaman yang diambil sebentar tadi (semalam) adalah satu ucapan ceramah, di mana saya minta supaya anak Khalid disiasat selepas anaknya didakwa mendapat lesen penjualan senjata api.

“Saya sekadar minta disiasat apakah sistem hari ini, perdana menteri dan ketua polis negara tidak boleh disiasat? Sedangkan saya tunjuk kepada pihak polis tadi (semalam) bahawa beliau (Khalid) sendiri mengaku bahawa anaknya memperoleh lesen perniagaan senjata api sebelum beliau menjadi ketua polis negara,” katanya.

Mohamed Azmin turut mempersoalkan adakah tindakannya meminta siasatan dilakukan terhadap anak Khalid sebagai satu kesalahan.

“Sebab itu saya rasa dukacita, sebab banyak masa dibuang semata-mata untuk menekan saya agar tampil memberikan keterangan.

“Bagaimanapun saya bersedia tentang apa juga kemungkinan di atas siasatan ini, kerana apa yang ditekankan satu proses perolehan yang mestilah telus, terbuka dan bertanggungjawab,” katanya.

Mohamed Azmin dipanggil polis bagi memberikan keterangan susulan kenyataan mempersoalkan perolehan lesen perniagaan senjata api milik anak Khalid dalam satu ceramah pada 3 Mac lalu.

N Surendran berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Terdahulu, Khalid mengakui firma senjata api yang dikaitkan dengan anak perempuannya itu memperoleh lesen perniagaan sebelum beliau dilantik menjadi ketua polis negara.

Khalid berkata demikian ketika mengulas satu artikel Sarawak Report bahawa anaknya, Juwiza dan adik iparnya, Mohd Isa Hussin pemilik Nilai Arms & Ammunition (NAA).

Tiada ulasan: