Oleh Azizul Osman
KUALA LUMPUR: Sikap pemimpin Amanah yang 'membawa lari' kerusi PAS
menjadi salah satu punca parti itu tawar hati untuk menjalin kerjasama
dan membincangkan mengenai pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14).
Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, bagaimana
mereka boleh menggunakan nama parti sebagai Amanah sedangkan parti itu
langsung tidak beretika apabila sanggup menarik ahli PAS untuk menyertai
blok pembangkang yang lain.
"Amanah keluar dengan melarikan kerusi sebab itu kami tidak panggil
Parti Amanah, kalau Amanah dia tinggalkan kerusi. Ini bawa lari dengan
kerusi. Amanah apa ini. Bagi kami bila tarik ahli PAS, ini tidak ada
nilai tambah. Yang penting adalah apakah nilai tambah bila kita wujudkan
parti.
"Amanah tarik ahli PAS, tarik ahli pembangkang kepada pembangkang tidak
ada nilai tambah dan akan timbulkan polemik. Bagi kami tidak sedia
kerjasama dengan DAP dan Amanah, tidak (sama sekali)," katanya dalam
sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat di pejabat Institut
Integriti Malaysia hari ini.
PAS sebelum ini beberapa kali mempertahankan bahawa parti itu tidak
akan memberi muka dengan menyerahkan kerusi tradisi mereka kepada
Amanah.
Namun Amanah menyifatkan kerusi yang sebelum ini milik PAS menjadi hak
kepada mereka selepas parti itu tidak lagi berada dalam Pakatan Harapan
(PH) selepas terkuburnya Pakatan Rakyat (PR).
Sehingga kini pembangkang masih gagal mencapai kata sepakat dalam soal pembahagian kerusi untuk pilihan raya akan datang.
Terdahulu Tuan Ibrahim hadir bersama Presiden Parti Ikatan Bangsa
Malaysia (IKATAN) hadir menyerahkan memorandum berkaitan syor pembiayaan
politik oleh Gagasan Sejahtera kepada Pengerusi Jawatankuasa
Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik, yang juga Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan.
Malah Tuan Ibrahim tidak menolak tindakan Amanah yang mahu menjalin
kerjasama dengan PAS adalah semata-mata mahu menagih kerusi mereka.
"Amanah tidak ada kerusi macam mana nak kerjasama dengan parti yang
tidak ada kerusi. Saya ingat Amanah ini nak kerjasama sebab mahu kerusi
daripada PAS. Kita sudah bertahun mempertahankan kerusi milik kita,"
jelas Tuan Ibrahim.
Amanah terdahulu menyatakan kesediaan untuk membuka pintu kepada
mana-mana pihak termasuk Pas sekiranya mahu bekerjasama menumbangkan BN.
Timbalan Presidennya, Salahudin Ayub mengumumkan kesediaan itu ketika
ditemui pemberita seusai penyerahan memorandum bantahan Akta Majlis
Keselamatan Negara (MKN) ke Istana Negara, Mac lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan