Rabu, 14 Disember 2016

‘Kami tak maksum, tapi jangan fitnah kami’

Idris Ahmad
Idris Ahmad


SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Idris Ahmad mengakui pimpinan parti itu tidak maksum dan sedia untuk dikritik.

Bagaimanapun, beliau memohon agar mereka yang membenci Pas agar tidak membuat fitnah terhadap parti itu.

“Kalau kita ragu atau tidak pasti maklumat, tidak perlu viral kepada orang lain. Kalau pun benci dengan Pas jangan pula fitnah Pas.

“Kritiklah Pas dan pimpinan kalau kami salah, kerana kami bukan maksum,” katanya dalam kenyataan.
Mengambil contoh dakwaan Pas hendak bergabung dengan Umno serta Pas menerima dana RM90 juta, Idris berkata, kebanyakan maklumat itu diperoleh daripada sumber tidak sahih.

“Daripada mana awak dapat maklumat mengatakan Pas hendak bergabung dengan Umno? Daripada mana awak dapat maklumat Pas dapat RM90 juta?

“Daripada mana awak dapat maklumat Pas tidak bersuara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB),  RM2.6 bilion, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ)? Jawapannya daripada Facebook, WhatsApp, ceramah orang yang benci kepada Pas, portal dan laman web,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan semua pihak merujuk kesahihan maklumat kepada pemimpin Pas atau saluran yang tepat.

“Bukankah pepatah mengatakan hendak tahu kebaikan seorang tanyalah sahabatnya. Hendak tahu keburukan seorang tanyalah musuhnya.

“Nasihat saya tanyalah kepada ahlinya, bukan maklumat yang tidak tahu siapa membawa dan menulisnya. Mungkin ditulis oleh orang Muslim, kafir, munafik, penulis upahan, pendendam, batu api atau saraf musuh,” katanya.


Tiada ulasan: