Khamis, 8 Disember 2016

Gagasan Sejahtera terus desak akta dana politik disegerakan

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Gagasan Sejahtera hari ini mendesak agar kerajaan menyegerakan cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) untuk menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik sekali gus diwartakan.
 
Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man perkara itu penting bagi mengelakkan berlakunya penularan gejala rasuah di negara ini yang mengundang bahaya kepada politik negara.
 
"Bagi kami dalam Gagasan Sejahtera memang sangat mendesak perlunya disegerakan walaupun ada parti-parti yang bantah tapi kita kena fikir luas sebab bagi kita isu ini bukan hanya dalam konteks ruang yang ada parti pemerintah tapi semua mesti masuk dalam kelompok yang sama. Mesti ada kawalan contohnya dana luar negara, ini bahaya kalau kita benarkan," katanya kepada media hari ini.
 
Katanya lagi, mustahil tiada sebarang agenda daripada pihak luar yang berani menyalurkan dana kewangan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik.
 
"Campur tangan dana asing sangat bahaya di negara kita. Tidak mungkin orang bagi sumbangan dengan tidak ada apa-apa (kemahuan). Bagi kami sangat setuju disegerakan dan parti politik termasuk parti pembangkang pun mesti seruis untuk lihat perkara ini. 
 
"Jangan kerana kita terbelenggu dengan sisten yang korup hari ini lalu kita menolak pandangan yang baik. Kita kena ikhlas dan jujur untuk lihat masa depan negara kita," ujar Tuan Ibrahim lagi.
 
Sebelum ini gabungan pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan itu kerana berpendapat ketika PRU berlangsung, kerajaan ada mewujudkan panduan yang mensyaratkan calon yang bertanding hanya dibenarkan berbelanja sebanyak RM200,000 ketika berkempen.  
 
Malah mereka turut mendakwa kerajaan mencipta akta sebegini ekoran mahu menyekat sumber kewangan pembangkang yang kebanyakannya diperoleh dengan cara seperti ini.
 
Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam pada itu turut berharap agar cadangan itu dibawa ke sesi Dewan Rakyat Mac depan demi membasmi politik wang.
 
"Kita juga kemukakan beberapa cadangan balas mungkin untuk dikaji dan diteliti supaya boleh kita harapkan supaya kertas ini dibawa ke Parlimen pada 27 Mac 2017. Kita bincang dua aspek iaitu tentang basmi politik wang dan kawalan terhadap dana parti-parti politik," jelas Abdul Kadir dalam sidang media sama.
 
Gagasan Sejahtera menerusi Tuan Ibrahim dan Abdul Kadir hari ini membuat lawatan ke Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik di Institut Integriti Malaysia (JKNMPP) sambil menyerahkan memorandum berkaitan syor pembiayaan politik oleh gabungan blok ketiga berkenaan.
 
JKNMPP dalam cadangan itu menggariskan 32 perkara termasuk memperkenalkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk meningkatkan integriti dan pembiayaan politik.
 
 

Tiada ulasan: