Jumaat, 9 Disember 2016

DBKL pasang CCTV di Brickfields cegah jenayah terhadap OKU

ASTRO AWANI


DBKL pasang CCTV di Brickfields cegah jenayah terhadap OKU
Kawasan sekitar Brickfields menjadi laluan penting bagi golongan OKU penglihatan yang mencari rezeki. - Foto sumber marriedtoourbackpacks.files.wordpress.com
 
 
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan panas sekitar Brickfields bagi mengesan pihak yang melakukan jenayah terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Timbalan Pengarah Perancangan Bandaraya DBKL, Rosli Nordin berkata pemasangan CCTV itu adalah perlu bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti penjenayah serta mengekang masalah jenayah yang membabitkan golongan OKU.

"DBKL ada memperuntukkan bajet dalam usaha menjadikan bandar kawasan selamat. Kita akan pasang CCTV di kawasan panas seperti di kawasan orang ramai dan sekolah,"  katanya pada sesi ramah mesra 'Be Safe, Feel Safe' hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab permasalahan yang disuarakan oleh seorang kakitangan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Sahmar Saad, 47, yang juga OKU penglihatan.

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata DBKL juga akan mengkaji dan menyediakan laporan lengkap untuk mewartakan Brickfields sebagai bandar mesra OKU seperti yang dicadangkan oleh Sahmar yang mewakili kira-kira 80 OKU penglihatan pada majlis itu.

"DBKL perlu ada perancangan teliti yang merangkumi semua aspek seperti sosial, infrastruktur dan kemudahan. Laporan lengkap juga akan disediakan dalam masa terdekat dan dibawa ke pihak kementerian supaya dapat dibentangkan di Parlimen," katanya.

Sementara itu seorang lagi OKU penglihatan, Mohd Khairi Sulaiman, 49, turut meminta pihak DBKL supaya mengambil tindakan terhadap orang ramai yang memparkir motosikal di atas laluan pejalan kaki dan menutup lubang longkang dengan sebaiknya.

"Keadaan sebegini amat merbahaya buat kami yang tidak nampak. Motosikal yang diparkir atas laluan pejalan kaki membuatkan kaki kami terkena ekzos panas dan beg kami tersangkut di handle motosikal.

"Mengenai penutup longkang yang dilarikan dan lubang saluran air hujan, ia juga berbahaya kepada kami, sampaikan ada antara kami yang terseliuh akibat terjatuh ke dalam lubang," katanya yang juga merupakan kakitangan MAB.
 
Program yang dianjurkan sempena sambutan 10 tahun Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL) itu turut dihadiri wakil daripada DBKL, Polis DiRaja Malaysia, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Rukun Tetangga Sektor Brickfields.

LA21 KL yang mula dilaksanakan sejak 2005 merupakan program yang menekankan penglibatan tiga pihak iaitu DBKL, masyarakat serta sektor swasta untuk merancang dan menguruskan kawasan persekitaran ke arah pembangunan mampan dan kualiti hidup yang lebih tinggi. 
 
 

Tiada ulasan: