Rabu, 14 Disember 2016

Berhenti fitnah PAS, tegas Naib Presiden

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS melahirkan rasa kecewanya terhadap pihak yang sering melemparkan tuduhan kepada parti itu bersabit kerjasama dengan Umno-Barisan Nasional (BN) dan menerima dedak daripada kerajaan.
 
Naib Presidennya Idris Ahmad turut menyelar sikap sesetengah pihak yang lebih mempercayai sumber yang tidak sahih berbanding bertanya sendiri kepada pemimpin PAS. 
 
"Daripada mana awak dapat maklumat mengatakan PAS hendak bergabung dengan Umno? Daripada mana awak dapat maklumat PAS dapat RM90 juta? Daripada mana awak dapat maklumat PAS tidak bersuara mengenai 1MDB,  RM2.6 bilion, DOJ? 
 
"Jawapannya daripada FB, WhatsApp, ceramah orang yang benci kepada PAS, portal, laman web.
 
"Saya tanya lagi, awak ada bertanya dengan pemimpin PAS? Awak baca Harakahdaily? Awak baca Harakah? Awak hadir usrah? Awak dengar kuliah  di markas PAS? Awak dengar ceramah PAS? Jawapannya semuanya tidak.
 
"Nasihat saya tanyalah kepada ahlinya, bukan maklumat yang tidak tahu siapa membawa dan menulisnya.," katanya dalam satu kenyataan.
 
Walaupun tidak menyatakan secara jelas, umum mengetahui bahawa beliau merujuk kepada AMANAH dan DAP.
 
PAS sebelum ini acapkali diserang bekas parti serpihannya AMANAH dan DAP terutamanya dalam isu ketidaksudian parti itu menjalin kerjasama dengan pembangkang yang lain dalam menghadapi Umno-BN pada pilihan raya akan datang.
 
Malah Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menerusi Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, sering menuduh PAS menerima dedak daripada Umno-BN dan menyokong parti itu.
 
Idris juga menegaskan dan menggesa supaya orang ramai tidak lagi mempercayai sumber maklumat yang belum pasti kesahihannya dan bertindak menyebarkannnya.
 
"Kalau kita ragu atau tidak pasti maklumat, tidak perlu viral kepada orang lain. Kalau pun benci dengan PAS jangan pula fitnah PAS. Kritiklah PAS dan pimpinan kalau kami salah, kerana kami bukan maksum," tegas beliau lagi.
 
 

Tiada ulasan: