Khamis, 15 Disember 2016

Bekas ahli PAS berdepan risiko muflis

Ariv Chelvam



Seorang bekas ahli PAS kini berdepan diisytihar muflis selepas namanya digunakan parti berkenaan untuk mengemukakan petisyen mencabar keputusan pilihan raya umum ke-13 bagi kawasan parlimen Pulai.

Za'aba Ibrahim yang sebelum ini adalah exco pemuda PAS Johor diarah membayar kos guaman bernilai RM50,000 oleh mahkamah rayuan pada Januari 2014.

Punca masalahnya, Za'aba kini bukan lagi ahli PAS kerana memilih untuk bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) sejak September tahun lalu.

"Bunyinya kelakar, PAS kata mereka tidak boleh membantu saya kerana saya bukan seorang ahli PAS.

"PAS mempunyai masa hampir dua tahun untuk membayar kos undang-undang itu (sebelum Za'aba menyertai AMANAH), tetapi mereka meninggalkan saya bersendirian kerana mereka fikir saya seorang anak kecil.

“Saya harap PAS bayar (kerana), saya tidak mahu muflis,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Za'aba bersetuju menjadi plaintif bagi pihak PAS pada 2013 kerana parti berkenaan ketika itu bersetuju untuk menanggung semua kos dalam proses perundangannya.

Namun, pada 27 Januari 2014 mahkamah rayuan menolak petisyen itu dan mengarahkan Za'aba membayar kos bagi proses berkenaan.

Kata Za'aba tarikh akhir bagi dia menyelesaikan bayaran berkenaan ialah pada 17 Januari 2017.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed ketika dihubungi mengesahkan parti itu tidak akan membantu Za'aba kerana beliau bukan lagi ahli PAS.

"Dia tidak lagi ahli PAS, jadi mengapa kita perlu bantu beliau? Jika dia (masih ahli), kita akan dibayar," katanya.

Pada PRU13, calon PAS kawasan itu adalah Salahuddin Ayub yang cuba mencabar calon BN Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed. Bagaimanapun Salahuddin tewas dengan mendapat 40,525 undi berbanding Nur Jazlan 43,751.

Salahuddin kini timbalan presiden AMANAH.

AMANAH pula memberitahu parti tu sedang berusaha membantu Za'aba.

Setiausaha Organisasi AMANAH Suhaizan Kaiat berkata setakat ini mereka dapat mengumpul dana sebanyak RM11,000 hasil sumbangan orang ramai.

"Kami menyasarkan untuk mencapai RM50,000.

"Disebabkan PAS tidak mahu membantu beliau, jadi kami cuba bantu," katanya.

Tiada ulasan: