Sabtu, 3 Disember 2016

Banyak dokumen Umno Semporna dimusnahkan selepas Shafie keluar parti

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pemangku Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Nasir Tun Sakaran berkata banyak dokumen parti didapati dimusnahkan oleh kumpulan tertentu setelah ketua dahulu, Datuk Seri Shafie Apdal meninggalkan Umno.
 
Nasir berkata, beliau dan ahli jawatankuasa lain mengambil masa hampir dua bulan untuk menyusun semula fail-fail dan pejabat.
 
Ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno (PAU2016) di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, beliau berkata, itu antara cabaran paling besar di hadapi setelah Shafie keluar parti.
 
"Keadaan kita di Semporna sudah pulih seperti sedia kala. Peringkat awalnya Shafie keluar Umno memang banyak yang mungkin risau atau kekeliruan terutama sekali ahli di Bahagian Semporna.
 
"Setelah kita susun kembali dan ia mengambil masa hampir dua bulan. Kita di peringkat pejabat kita sediakan pejabat baru.
 
"Selain itu fail-fail juga kita kena cari daripada pejabat perhubungan Sabah dan pusat dan fail-fail lama tidak dikembalikan mungkin dimusnahkan pihak keluar Umno," katanya.
 
Namun, beliau yang kini menerajui Umno bahagian tersebut bagaimanapun berjaya mengatasi cabaran tersebut malah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
 
Ketika diminta mengulas lanjut berkenaan tindakan kumpulan bekas Umno Semporna itu, beliau menjangkakan bahawa kumpulan tersebut mahu menggunakan dokumen berkenaan sebagai rujukan untuk menubuh parti baru mereka.
 
Shafie keluar Umno setelah keahliannya digantung ekoran tindakannya mengkritik secara terbuka kepimpinan presiden party, Datuk Seri Najib Razak.
 
Beliau kemudian menubuh parti WARISAN yang berasaskan politik tempatan bersama beberapa pemimpin pembangkang Sabah lain.
 
 

Tiada ulasan: