Khamis, 29 Disember 2016

Amanah sasar kerusi PKR kalah - Khalid Samad

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah hanya mensasarkan kerusi milik PKR yang gagal dimenangi pada pilihan raya lepas, jelas Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad.
 
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bahawa partinya tidak akan bertanding di mana-mana kerusi sekutu politiknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
"Apa yang dijawab Salahuddin itu adalah (kerusi) yang telah dimenangi atau diisi oleh PKR. Bermakna yang mana telah dimenangi oleh PKR kita tidak kacau.
 
"Bukan kita nak ambil kerusi mereka, kita hendak bincang. Yang penting sekarang ialah kita nak tentukan untuk menang. Kerusi yang dimana (dirasakan) Amanah kuat, kita bincang dan banding lihat bagaimana kekuatan untuk memenangi kerusi itu. Namun akhirnya ia akan diputuskan secara perbincangan sesama kita," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Selasa lalu, Khalid memaklumkan partinya berhasrat untuk bertanding 40 kerusi Parlimen termasuk yang dimiliki PKR dan PAS untuk PRU14 nanti.
 
Ujarnya pemilikan kerusi tradisi yang dipertahan sesama parti pembangkang tidak lagi relevan dengan senario politik hari ini.
 
Justeru, Amanah nekad untuk mengemukakan senarai 40 kerusi yang mahu ditandinginya pada mesyuarat Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang dijadual pada Januari nanti berhubung isu pembahagian kerusi.
 
Khalid kemudiannya memberitahu, Amanah tetap mensasarkan kerusi tradisi PAS untuk diletakkan calon pada pilihan raya akan datang, memandangkan parti itu bukanlah rakan sekutu mereka dalam PH.
 
"Walaupun PAS tiada dalam mesyuarat, kita akan bincang tentang pembahagian kerusi. Jika ada yang mengatakan sesuatu kerusi itu serah kepada PAS, kita bincangkan seperti apa baiknya kita lepas kepada PAS. 
 
"Jika tidak mahu serah PAS kerana ia tak bersama kita maka kita fikir siapa calon kita untuk bertanding di kerusi itu," kata Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi.
 
Semalam Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad menyifatkan parti Amanah sebagai tidak amanah apabila mahu 'mencuri' kerusi rakan sekutunya sendiri (PKR) dalam PH.
 
"Bukan soal nak rebut kerusi, curi kerusi sebagaimana yang Iskandar kata. Ini soal kita mempunyai 40 kerusi, kita ada calon dan ada harapan yang cerah untuk menang dan bawa ke mesyuarat untuk bincang. 40 kerusi yang kita hendak tandingi ini adalah sebahagian besar daripada PAS, dan satu atau dua daripada PKR yang mereka tak menang," ulas Khalid.
 
 

Tiada ulasan: