Sabtu, 17 Disember 2016

Amanah mungkin jadi tulang belakang Umno

Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi


KOTA BHARU - Biarpun Amanah dilihat masih tidak mampu menarik sokongan orang Melayu, tetapi Pas Kelantan mengakui kebolehan parti itu berperanan sebagai ‘tongkat’ kepada pihak lawan.

Setiausahanya, Datuk  Che Abdullah Mat Nawi berkata,  dalam konteks semasa politik di Kelantan, Pas melihat kelahiran parti baharu itu diibaratkan sebagai tulang belakang yang memberikan kekuatan kepada Umno pada PRU14.

“Kita tidak menafikan dari segi peranan tongkat boleh dimainkan oleh Amanah. Di Pulau Pinang dan di Pantai Barat, mereka ini dilahirkan sebagai tongkat kepada DAP. Di Kelantan dan Terengganu pula tongkat kepada Umno.

“Kerana merekalah yang memungkinkan Umno boleh mempertahankan Terengganu atau boleh memasang cita-cita menawan Kelantan menggunakan tongkat yang disediakan oleh Amanah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam perkembangan lain, Che Abdullah turut menyokong pandangan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah yang akan meletakkan calon di kerusi tradisi DAP pada PRU14 nanti.

“Saya yakin dengan sokongan Dewan Himpunan Penyokong Pas yang turut dianggotai pelbagai kumpulan termasuk golongan profesional mampu menarik sokongan bukan Islam dan orang Islam,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai hubungan parti Bersatu dengan DAP pula, Che Abdullah membayangkan DAP akan berusaha menggunakan parti diterajui bekas perdana menteri itu demi melangsungkan matlamat mereka.

“DAP akan cuba menggunakan mereka, jadi terpulang kepada mereka untuk menurut menjadi seperti Amanah boleh digunakan oleh DAP, atau menurut prinsip  mereka sendiri dan mencari rakan tahalul dengan parti lain,” katanya.


Tiada ulasan: