Ahad, 11 Disember 2016

Amanah jamin bebaskan Mazlan dari bankrap

 HAZAYANI ZAKARIA

Presiden Amanah Mohamad Sabu melancarkan Solidariti untuk Mazlan di Konvensyen Amanah Nasional hari iniPresiden Amanah Mohamad Sabu melancarkan Solidariti untuk Mazlan di Konvensyen Amanah Nasional hari ini


Konvensyen Amanah Nasional hari ini melancarkan Solidariti Untuk Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman yang diarah membayar saman sejumlah RM500,000 kepada Felda.

Saman tersebut ekoran tulisan Mazlan dalam bukunya bertajuk “Felda...Dulu Tolong Sekarang Along!” yang dicetak oleh syarikat Angkatan Edaran.

Sekiranya Mazlan tidak dapat membayar wang tuntutan ini, beliau akan segera dimufliskan dan tidak lagi boleh memimpin mana-mana organisasi untuk memperjuangkan rakyat dan membebaskan golongan Felda.

Pelancaran itu dibuat sejurus usul berkaitan Solidariti Mazlan Aliman yang dikemukakan perwakilan Negeri Sembilan diluluskan dengan sebulat suara.

Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika membahaskan usul tersebut menyatakan komitmen untuk membebaskan Mazlan daripada bankrap sambil mendakwa tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas Mazlan ini adalah usaha kerajaan untuk melemahkan semangat ahli dan penyokong Pakatan Harapan.

"Rentetan peristiwa Mazlan Aliman dibankrapkan, ini adalah ciri yang dibuat oleh Najib untuk melemahkan Pakatan Harapan dan sekutu Pakatan Harapan supaya petugas sama ada hilang semangat atau patah di tangah jalan.

"Mazlan jiwa dan perjuangannya bersama Felda dan peneroka generasi awal kedua dan seterusnya. Mazlan adalah pejuang. Oleh itu kita mesti bebaskan Mazlan Aliman daripada bankrap," katanya ketika menyokong usul Solidariti Mazlan Aliman yang dikemukakan perwakilan Negeri Sembilan.

Mazlan Aliman berhadapan status muflis jika tidak dapat membayar RM500,000 kepada FeldaMazlan Aliman berhadapan status muflis jika tidak dapat membayar RM500,000 kepada Felda

Beliau juga mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 untuk tabung Mazlan yang mula dilancarkan pada Oktober lalu.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menegaskan Amanah tidak akan sekali-sekali lepas lepas tangan terhadap peristiwa yang berlaku ke atas Mazlan.

Sebaliknya kata beliau, parti itu akan terus bersama-sama Mazlan menghadapi ujian ini.

"Saya merasakan ini sebagai satu ujian bagi Amanah. Kita tak mahu menjadi parti yang apabila seseorang menjadi pejuang bagi sesuatu isu, kita sanjung dan kita manfaatkan.

"Tapi apabila dia ditimpa dengan sau kesusahan dan bala maka kita lepas tangan. Kita tak mahu menjadi satu parti yang nak manfaatkan individu tertentu untuk kepentingan parti. Mazlan hadapi risiko ini tak ada kepentingan peribadi," katanya.

Beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk tabung Mazlan.

Sehubungan tiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir pula mengumumkan Amanah akan turun ke seluruh negara bagi menggerakkan tabung Mazlan dan memberikan penerangan berhubung isu Felda.

"Saya dengan ini mengumumkan Amanah akan turun ke seluruh negara untuk menggegarkan isu Mazlan Aliman," katanya disambut tepukan gemuruh sidang dewan.

Sementara itu, tabung untuk Mazlan diedarkan kepada pimpinan, perwakilan dan pemerhati.

Tiada ulasan: