Selasa, 8 November 2016

Warna-warni ladang kelulut


 
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Berbekalkan daya kreativiti dan minat terhadap flora dan fauna, seorang penternak kelulut berjaya mentransformasikan ladang ternakannya menjadi sebuah taman bercorak fantasi, sekali gus menarik perhatian orang ramai untuk melawatnya.

Tidak hairanlah kini, setiap hari ladang di Kilometer 8.4, Kampung Padang Lalang, Alor Janggus, Alor Setar, Kedah, itu bukan saja dikunjungi penduduk tempatan malah pelancong luar negara.

Menerusi carian di Internet, penulis teruja melihat sendiri tempat itu yang dikenali sebagai Ladang Madu Kelulut Ori berikutan banyak gambar keindahan landskap hiasannya dikongsikan netizen.

Keramahan pemiliknya Chan Kok Thian, 32, yang tidak lokek bercerita mengenai ternakan kelulutnya dan usaha membina ladang itu, masih terngiang-ngiang di telinga penulis ketika berkunjung ke situ, baru-baru ini.

Lokasinya cukup mudah untuk dikunjungi iaitu di tepi Jalan Kangar-Alor Setar dan biarpun laluan itu agak sibuk dengan kenderaan, ladang berkonsepkan ekotourism dan berwarna-warni itu diterjemahkan pemiliknya menjadi tarikan untuk sesiapa saja singgah di situ.

Menurut Chan, ladang itu dibuka sejak 24 Julai 2014 selepas melihat potensinya berikutan ketika itu di kawasan berkenaan masih kurang tempat tarikan pelancongan.

“Saya menternak kelulut ini secara suka-suka apabila diajak rakan. Apabila sudah lama, madu semakin banyak sehingga tidak tahu hendak buat apa.

“Dari situ saya membuka kedai menjual madu kelulut dan produk sampingan berasaskan madu kelulut seperti kopi madu kelulut dan sabun badan madu kelulut menggunakan jenama Dukun Jaya.


“Saya kemudian membuat perubahan dengan membangunkan landskap bertemakan alam fantasi ini untuk menarik pengunjung,” katanya.

Sejak mula tiba, pandangan penulis tertumpu kepada sebuah replika kincir angin, pondok telefon, binaan batu hiasan berbentuk cendawan dan patung kecil yang dicat dengan warna terang.

Chan memberitahu dia membina sendiri kincir angin itu menggunakan bahan terbuang dan bercadang melakukan perubahan lain termasuk mengubah susun atur hiasan di situ supaya pengunjung tidak bosan.

Melangkah ke dalam kawasan ladang itu, banyak hiasan lain tidak kurang menarik seperti binaan perigi lama, atap diperbuat daripada botol terpakai dan pelantar kayu serta binaan buluh juga daripada bahan terbuang.

Di atas pelantar kayu itu pengunjung boleh bergambar berlatarbelakangkan sawah padi dan Gunung Keriang selain melihat pelbagai jenis itik air dipelihara di tali air.

Selain itik, pemiliknya turut memelihara beberapa kambing yang jinak, angsa dan pelbagai spesies burung.

Penulis sempat berbual dengan dua pengunjung iaitu Hafifuddin Hashim, 42, dari Alor Setar dan Dexter Wong, 38, dari Pulau Pinang yang kelihatan begitu ceria bersiar-siar dan merakam gambar bersama keluarga masing-masing di pelbagai sudut di ladang itu.

Bagi Hafiffuddin ladang itu umpama zoo mini manakala Dexter pula kali kedua datang kerana ia percuma dan anaknya suka melihat haiwan.

Difahamkan, disebabkan keunikan ladang berkenaan, ia pernah menjadi lokasi penggambaran video klip lagu dan program televisyen selain dikunjungi pasangan pengantin untuk merakam gambar kenangan.

Ladang Madu Kelulut Ori beroperasi setiap hari mulai jam 9.30 pagi hingga 7 malam manakala pada Jumaat, Sabtu dan Ahad serta cuti umum, ia dibuka pada jam 9 pagi hingga jam 7.30 malam.

Setakat ini pemiliknya tidak bercadang mengenakan bayaran masuk kerana gembira melihat orang ramai datang ke ladangnya dan merakam gambar.

Tiada ulasan: