Selasa, 15 November 2016

Umno mahu adukan 'kekayaan' Adam ke SPRM, LHDN

MALAYSIAKINI


Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo dan Datuk Seri Jamal Md Yunos akan membuat laporan berhubung kekayaan Datuk Adam Rosly kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam negeri (LHDN).

Menurut Ismail laporan itu dibuat memandangkan Adam yang juga ketua pemuda PKR Ampang itu seakan-akan mencabarnya untuk bertindak sedemikian.

“Dia cabar kononnya (kami perlu) lapor kepada SPRM.

"Lepas ini kita akan pergi ke Putrajaya, lepas ini jam 3 petang kita akan buat laporan pada SPRM suruh mereka siasat dari mana Adam mendapat (sumber) kewangan.

“Ada atau tidak dia (Adam) bayar cukai? Kita (juga) nak LHDN siasat dan kalau perlu, (kalau) dia tak bayar cukai tindakan mestilah diambil,” katanya kepada pemberita di luar kediaman Adam di Ampang hari ini.

Sebelum itu Jamal - pemimpin kumpulan Baju Merah - membawa wakil media menaiki helikopter untuk meninjau “kekayaan” di rumah Adam (gambar) di Ampang.

Dakwa Jamal, Adam memiliki banglo dan pelbagai kereta mewah meskipun baru sepenggal memegang jawatan dalam PKR.

Jamal menaiki helikopter kira-kira jam 12 tengah hari dan meninjau rumah Adam dari udara sekitar 15 minit.

Helikopter itu mendarat semula di Tasik Titiwangsa dan Jamal tiba di rumah Adam kira-kira jam 1.20 petang.

Sultan yang sama

Adam dalam sidang media berasingan hari ini menjelaskan beliau membeli kediaman di Ampang itu dengan harga RM1juta selepas membida dalam lelongan.

Tinjauan Malaysiakini di rumah itu mendapati pagarnya berkunci tetapi dapat dilihat ada tiga kereta - Audi, Volvo dan Range Rover - di pekarangan kediaman berkenaan.

Sementara itu Jamal turut mendakwa Adam dengan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kekayaan yang dimiliki tersebut sungguh luar biasa.

“Kelulusannya SPM sahaja tapi saya bangga anak Melayu yang berjaya berbanding anak muda lain di Ampang.

“Saya bukan nak menuduh tapi nak tanya pada Adam - dari mana hasil kekayaan luar biasa (itu diperolehi)?” soalnya.

Dalam pada itu Jamal menggesa supaya Adam memberikan penjelasan kepada masyarakat berhubung kekayaan luar biasa tersebut.

“Kita lihat Adam seorang yang berjaya di umur 28. Tapi kita mempersoalkan sebelum dia memegang AMK Ampang dan selepas memegang jawatan. Sebelum itu kita tak tahu identiti dia kerja apa.

“Dia perlu jelaskan pada pengundi Ampang mengenai kekayaan itu,” katanya.

Bagaimanapun dalam kenyataan kepada media Adam mendakwa tidak pelik untuknya memiliki kekayaan dan gelaran walaupun masih muda.

Malah kata Adam beliau mendapat gelaran itu serentak dengan Jamal dan daripada sultan yang sama.

"Saya nak maklumkan saya dapat Datuk sebaris dengan Datuk Jamal. Saya sebaris dengan dia di depan Tuanku," katanya.


Tiada ulasan: