Selasa, 15 November 2016

Trump dan kematian TPP

DETIK DAILY
 

 
Oleh Haris Zalkapli


Parti Republikan, berdasarkan sejarah lebih menyokong perdagangan bebas berbanding Demokrat yang lebih mesra buruh. Pendirian Trump menolak dengan keras TPP boleh dilihat melalui perembangan beberapa tahun kebelakangan ini, apabila Republikan sendiri semakin menunjukkan sikap kritikal terhadap rejim perdagangan bebas, sehingga melebihi sikap kritikal dalam kalangan Demokrat.

Selain gelombang populisme dan penentangan terhadap Obama, realiti ekonomi dalaman Amerika Syarikat semakin mendorong sikap kritikal Trump dan Republikan terhadap perdagangan bebas.

Dalam kempen pilihan raya presiden sejak musim primary, kedua-dua Trump dan Clinton menunjukkan sikap kritikl terhadap TPP. Trump malah mengkritik Nafta dan mempersalahkan Demokrat. Undi yang diperlukan di kawasan Rust Belt menjelaskan sikap kritikal kedua-dua Trump dan Clinton terhadap perdagangan bebas ini, yang biasa dilihat pada calon-calon presiden semasa kempen.

Nafta sebenarnya dirundingkan dan dipersetujui semasa pentadbiran Bush, dan ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden Bill Clinton. TPP disebut sebagai "gold standard" perjanjian perdagangan bebas oleh Hillary Clinton, yang kemudian menolaknya semasa kempen. TPP dari sudut geopolitiknya muncul daripada agenda "Pacific pivot" yang diangkat semasa Clinton menjadi setiausaha negara dalam pentadbiran Obama.

Clinton dijangka melupakan janji menolak TPP dan menerimanya sekiranya berjaya menjadi presiden. TPP boleh menjadi satu legasinya, seperti Nafta kepada Bill Clinton.

Kemenangan Trump belum lagi membunuh TPP, sekiranya ini yang mahu dilakukan. Jelas Trump mengambil sikap menolak TPP, dan Obama telah menghentikan usaha untuk membawanya bagi proses ratifikasi di Kongres. Tetapi, tahun depan, semua akan menyaksikan adakah retorik akan diterjemahkan kepada realiti. Peranan presiden sememangnya besar, tapi tidak boleh diabaikan peranan Kongres dan kepentingan-kepentingan yang akan menjadi kuasa pendesak

Tiada ulasan: