Khamis, 17 November 2016

TIDAK SETUJU DENGAN ZAHID HAMIDI, HANYA BAJU MERAH YANG MESTI DIARAH BATALKAN PERHIMPUNAN

shahbudindotcom


Setelah Najib Razak melahirkan kebimbangan tentang kemungkinan berlakunya pertembungan fizikal antara kumpulan baju kuning dengan baju merah pada Sabtu ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan telah amaran terakhir agar kedua-dua pihak membatalkan perhimpunan yang dirancang itu.

Zahid berkata, membatalkan kedua-dua perhimpunan adalah penyelesaian terbaik bagi mengelak sebarang kemungkinan, sambil memberi amaran kepada penganjur bahawa tidak akan ada kompromi sekiranya mereka meneruskan perhimpunan tersebut.

"Tindakan akan diambil terhadap kedua-dua kumpulan, sama ada baju merah atau baju kuning. Jadi, untuk mengelakkan sebarang kemungkinan, kedua-duanya perlu membatalkan perhimpunan.

"Jika tidak ada perhimpunan baju kuning, maka tidak akan ada juga bantahan balas daripada baju merah," tegas Zahid lagi.

Bukan saja saya, bahkan tentu juga ramai yang tidak setuju dengan pendirian Zahid ini. Zahid seharusnya melihat isu perhimpunan 19 November itu daripada awal lagi dengan pertimbangan yang adil dan saksama, bukan semudah itu memberi amaran kepada kedua-dua belah pihak.

Idea mengadakan perhimpunan pada 19 November ini adalah idea Bersih 2.0 dan mereka sudah pun mengadakan empat perhimpunan sebelum ini.

Tarikh yang dipilih juga sudah diputuskan lama sebelum ini. Permohonan kepada pihak polis untuk mengadakan perhimpunan di bawah Akta Perhimpunan Aman juga sudah dibuat.
 
 
 
 
Sebaliknya Baju Merah hanya muncul selepas penetapan tarikh perhimpunan dibuat dan ia semata-mata bertujuan untuk melakukan tindakan balas terhadap apa yang dilakukan oleh Bersih. 

Jelas di sini bahawa baju merah berniat jahat dan bertujuan melakukan gangguan. Dalam beberapa program jelajah anuran Bersih juga, niat dan perlakuan baju merah itu lebih jelas lagi di mana mereka bukan saja melakukan gangguan secara terbuka, bahkan menunjuk-nunjuk aksi ganas dan kebal dipukul yang seolah-olah memang untuk "cari gaduh"  matlamatnya.

Jika baju kuning ingin mengadakan perhimpunan, adalah tugas polis menjaga keselamatan serta memastikan agar undang-undang berkaitan sentiasa dipatuhi. Mereka hanya ingin mengadakan perhimpunan aman serta bertujuan meluahkan perasaan terhadap beberapa isu berkaitan kerajaan serta negara dan perkara itu bukan saja dibenarkan oleh undang-undang, bahkan merupakan acara normal bagi rakyat di seluruh dunia.

Tetapi apa tujuan baju merah berhimpun?

Mereka hanya ingin menunjukkan tindakan balas, mengampu Perdana Menteri dan mungkin juga disebabkan ada sedikit-sebanyak dedak yang diterima.

Maka, dalam hal ini yang perlu diminta  untuk membatalkan perhimpunan ialah baju merah saja, sebaliknya biarkanlah baju kuning berhimpun dengan aman dan dengan pengawasan oleh pihak polis.

Sudah pasti, sebagaimana perhimpunan anjuran Bersih sebelum ini, oleh kerana tiada gangguan dan provokasi oleh pihak-pihak luar, maka ia telah berjalan dengan aman  dan tenteram. 

Mungkin yang menjadi masalah di sini dan sering dijadikan alasan ialah kerana tiadanya kebenaran daripada DBKL untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat untuk Bersih 2.0 mengadakan perhimpunannya.

Sebagaimana biasa, alasan yang sering dipakai juga ialah kenapa tidak Bersih mengadakan perhimpunan di stadium atau tempat yang tertutup?

Dalam hal ini, penganjur sudah pun memohon untuk menggunakan Dataran Merdeka dan setelah ia ditolak, mereka kemudian memaklumkan hanya akan berada di jalan-jalan sekitarnya sahaja. Kawasan Dataran Merdeka tidak diganggu sama sekali.

Di mana-mana dunia sekalipun, perhimpunan aman dan meluahkan  perasaan biasanya memang diadakan di jalan-jalan raya dan tempat terbuka supaya ia lebih didengari oleh rakyat jelata dan bertujuan supaya pemimpin yang disasarkan lebih terasa kesannya.

Lagi pun stadium amat terhad bilangan yang boleh menyertainya dan ia lebih sesuai untuk perlawanan bola dan konsert yang memerlukan tiket untuk memasukinya. Di seluruh dunia, begitulah lumrahnya, perhimpunan rakyat tempatnya adalah jalanraya.

Jika perhimpunan aman menentang Malayan Union dahulu hanya diadakan di stadium dan bukan di jalanraya, apakah UMNO mampu wujud di dunia ini?

Oleh yang demikian, Zahid dan pihak polis harus menyedari bahawa perhimpunan awam secara aman memang tempatnya di jalanraya, bukan di stadium.

Tugas menjaga keselamatan adalah tanggungjawab pihak polis. Menghalang pihak lain iaitu baju merah daripada turut mengadakan perhimpunan pada tarikh dan masa yang sama atau bertembung dengan tarikh yang telah dipilih oleh Bersih adalah sebahagian usaha menjaga keselamatan yang menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menjaganya.

Tanpa baju merah, baju kuning akan berhimpun dengan aman dan lancar. Sebagai Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab kepada pasukan polis, Zahid seharusnya  memahami punca permasalahan dan cara mengatasinya.

Punca masalah adalah baju merah, bukan baju kuning. Kenapa mesti kedua-duanya diberi amaran agar membatalkannya?

Biarkanlah baju kuning berhimpun dengan aman pada 19 November ini dan Zahid sewajibnya mengeluarkan larangan kepada baju merah daripada turut sama mahu berhimpun pada tarikh tersebut. 

Mereka berhimpun hanya untuk melakukan gangguan, kekerasan dan menunjukkan kesamsengan semata-mata. Amaran Jamal bahawa peserta baju merah dalam keadaan "lapar" pada Sabtu ini dan tidak dapat menjamin tiadanya kejadian tidak diingini daripada mungkin berlaku menjelaskan lagi niat buruk mereka.

Baju merah sepatutnya diberi tarikh lain untuk mengadakan perhimpunan atau jika mereka mahu mengadakannya pada 19 November juga, ia mestilah di tempat yang jauh dengan baju kuning. Jika mereka berhimpun pada tarikh lain, katalah seminggu atau sebulan selepas tarikh perhimpunan Bersih 5 atau di tempat yang lain, sudah pasti tiada sesiapa akan melakukan gangguan.

Kenapa susah sangat Zahid memberi amaran atau arahan sedemikian?
 
 
 

Tiada ulasan: