Isnin, 7 November 2016

Terlalu banyak punca 2 IPG jadi kolej vokasional

Anne Muhammad


Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata pihaknya mahu menukar dua institut pendidikan guru (IPG) di Sarawak kepada kolej vokasional selepas mendapati bilangan institusi itu terlalu banyak.

Pada masa sama katanya kementerian kewangan menasihati mereka supaya mengoptimumkan kemudahan di IPG sedia ada.

Justeru kata Chong kementeiran pendidikan sedang menilai semula penggunaan IPG supaya selaras dengan keadaan semasa.

Bagaimanapun kata Chong langkah menukar IPG kepada kolej vokasional itu tidak akan mengurangkan nisbah guru di negara ini.

“Tidak, tidak (ia tidak akan kurangkan nisbah guru), kementerian sudah memberi penjelasan.
"Kita mempunyai IPG terlalu banyak.

“Latihan kepada guru-guru baru tidak begitu ramai, maka dengan bilangan (IPG) yang banyak kementerian kewangan memberi nasihat supaya mengoptimumkan kemudahan yang kurang digunakan, kita lihat bagaimana penggunaan IPG itu,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang menolak rancangan kerajaan persekutuan mahu menukar dua IPG menjadi kolej vokasional.

Adenan menyifatkan tindakan itu sebagai "bodoh".

Adenan berkata, bilangan IPG tidak perlu dikurangkan kerana boleh membahayakan matlamat kerajaan untuk mencapai nisbah 9:1 bagi guru-guru dari Sarawak dan bukan Sarawak yang berkhidmat di negeri berkenaan.

Chong turut berkata pihaknya akan berbincang dengan exco pendidikan di setiap negeri mengenai perkara itu.

“Berkenaan dengan respon ketua menteri Sarawak, melalui arahan menteri satu mesyuarat dengan exco pendidikan setiap negeri akan diadakan untuk membincangkan perkara ini," katanya.


Tiada ulasan: