Jumaat, 11 November 2016

Tebuk bilik kebal, perompak kaut emas dan wang tunai lebih RM1 juta

Nazialita Geynna Maharan, Astro Awani
Tebuk bilik kebal, perompak kaut emas dan wang tunai lebih RM1 juta
Penjenayah terbabit dipercayai menebuk bilik kebal terbabit untuk mengambil barangan berharga itu sekitar jam 1 hingga 7 pagi tadi. - Foto Astro AWANI
 
 
TAIPING: Pemilik sebuah kedai emas di Jalan Pasar di sini berputih mata dengan anggaran kerugian lebih RM1 juta apabila sekumpulan empat penjenayah bertindak melarikan barang kemas dan wang tunai yang disimpan di dalam sebuah bilik kebal kedai berkenaan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata kesemua penjenayah terbabit dipercayai menebuk bilik kebal terbabit untuk mengambil barangan berharga itu sekitar jam 1 hingga 7 pagi tadi.

Menurutnya, kesemua penjenayah itu sebelum itu dipercayai masuk melalui bumbung kedai emas sebelum memecah masuk ke bilik kebal berkenaan.

"Pemilik kedai yang merupakan sepasang suami isteri masing-masing berusia 43 dan 39 tahun, dan seorang anak saudara berusia 26 tahun hanya menyedari kedai mereka dipecah masuk apabila membuka kedai pada jam 10 pagi.

"Siasatan awal mendapati kesemua penjenayah menggunakan alat grinder (penggerudi) untuk menebuk bilik kebal berkenaan sebelum melarikan kesemua barang berharga di dalamnya,"katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelasnya, pihaknya sedang mengenal pasti kesemua empat penjenayah yang menggunakan topeng muka melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berkenaan.

esemua penjenayah itu sebelum itu dipercayai masuk melalui bumbung kedai emas sebelum memecah masuk ke bilik kebal berkenaan.
Kesemua penjenayah itu sebelum itu dipercayai masuk melalui bumbung kedai emas sebelum memecah masuk ke bilik kebal berkenaan. - Foto Astro AWANI
 
 
Harrith Kam berkata pihaknya tidak boleh membuat sebarang spekulasi mengenai insiden berkenaan kerana tiada saksi di tempat kejadian waktu ianya berlaku.

"Bagaimanapun, pihak kami akan melakukan siasatan terperinci secara lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,"katanya lagi. 
 
 

Tiada ulasan: