Selasa, 8 November 2016

Tasik Chini makin bersih




 
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Pernahkan anda membayangkan satu hari nanti air di Tasik Chini, Pekan, Pahang, selamat diminum tanpa memerlukan rawatan tambahan selain dididihkan?

Usaha itu sedang digerakkan kerajaan bersama sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Pemba­ngunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Tasik Chini yang berada di daerah Pekan atau kira-kira 100 kilometer (km) dari bandar Kuantan dan diliputi 12 tasik mula menjadi perhatian untuk dibangunkan bukan saja sebagai pusat penyelidikan, malah kerja pemulihan ekosistem.

Dianggap sebagai ‘laut’ oleh suku Orang Asli Jakun, tasik semula jadi itu pada mulanya tidak mampu dihuni sebarang hidupan air, malah tiada daya tarikan pelancong sebelum pelbagai inisiatif diambil bagi membangunkannya sebagai pusat pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, mutu air di tasik itu pada mulanya berada pada kelas tiga yang dicatatkan pada 2008.

Katanya, sebaik Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) siap dibina pada 2004, pelbagai penyelidikan dijalankan bagi memulihkan kualiti air di tasik itu. Hasilnya ia berjaya dirawat hingga kini berada pada kelas dua.

Bak kata pepatah ‘kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’, berpegang kepada kata-kata itu segala kajian dan penyelidikan masih diteruskan sehingga kualiti air tasik berkenaan dipulihkan pada kelas satu, suatu hari nanti.

“Matlamat sekarang ialah meningkatkan mutu air menjadi kelas satu menjelang 2018, iaitu ia selamat diminum tanpa memerlukan proses rawatan kecuali pendidihan,” katanya.

Berbeza sebelum usaha baik pulih ekosistem dijalankan, tiada sebarang hidupan air seperti ikan direkodkan dan apabila ia berjaya dipulihkan kepada tahap dua, beberapa spesies asal ikan tasik itu seperti lampam, sebarau dan kelah mampu hidup serta membiak.

Tidak terhenti setakat itu, Jebasingam memaklumkan segala usaha diatur itu antara lain untuk mengekalkan status Tasik Chini sebagai Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selain meningkatkan kehadiran pelancong.

Terletak di kawasan tanah tinggi serta hutan rendah selain kaya dengan spesies flora dan fauna, kumpulan penyelidik turut mengatur strategi memastikan 87 spesies ikan air tawar, 51 spesies bunga hutan, 25 spesies hutan ekuatik serta 15 spesies hutan bakau dapat dikekalkan pada masa depan.

Menyedari tasik semula jadi milik negara perlu dipelihara dan dipulihara, PPTC melalui Kompleks Makmal Air Tawar Tasik Chini turut melaksanakan inisiatif penyelidikan dalam menguruskan pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem selain membangunkannya sebagai tapak eko-pelancongan alam semula jadi negara.

Ketua PPTC Prof Datuk Dr Mushrifah Idris berkata, pusat di tapak berkeluasan kira-kira empat hektar hasil sumbangan kerajaan negeri itu turut merangka Pelan Pelaksanaan Strategik membabitkan strategi dan inisiatif hingga 2025.

“Antara pelan strategi itu ialah pemuliharaan kawasan tebing tasik, penstabilan cerun, pembiakan ikan dan pembersihan tasik.

“Tujuh stesen pengawasan mutu air (stesen telemetri) turut dibina di sungai utama yang mengalir masuk ke tasik ini,” katanya.

Segala inisiatif dilakukan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan komitmen pemeliharaan dan pemuliharaan itu sentiasa konsisten selain mengekalkannya sebagai Rizab Biosfera UNESCO pertama di Malaysia.

Dr Mushrifah berkata, pelan pelaksanaan strategik dirangka mempunyai garis panduan yang terbahagi kepada tiga Zon Pengurusan iaitu Zon Teras, Penampan dan Peralihan mengikut garis kerja Rizab Biosfera UNESCO.

Sejak diangkat menjadi Rizab Biosfera UNESCO pada 2009, tasik yang terkenal dengan legenda naga itu kini selamat untuk aktiviti rekreasi air selepas mutu airnya dipulihkan kepada kelas dua.

Kata Mushrifah, peningkatan mutu air turut membawa kepada pertumbuhan flora dan fauna secara sihat di kawasan berkenaan.

“Pokok teratai yang menjadi tumbuhan ikonik di tasik ini sudah diperkenalkan semula melalui pendekatan pembenihan yang membantu menghidupkan ekosistem semula jadi tasik,” katanya.

Bagaimanapun, usaha itu tidak dapat direalisasikan jika ada pihak cuba memusnahkan ekosistem di tasik berkenaan.

Pembalakan haram dan pembangunan secara tidak terurus perlu dikawal dan dipantau kerajaan untuk mengelakkan Tasik Chini menjadi mangsa kerakusan manusia yang mementingkan wang ringgit berbanding keseimbangan alam.

Tiada ulasan: