Selasa, 15 November 2016

SPRM digesa campurtangan isu ambilalih SPLASH

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat proses pengambialihan aset Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) oleh kerajaan negeri Selangor, yang didakwa mereka sebagai 'meragukan'.
 
Tiga berkenaan mahu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin ali dan mantannya, Tan Sri Khalid Ibrahim dipanggil bagi meleraikan isu pampasan untuk syarikat konsesi air berkenaan, yang dikatakan meningkat 10 kali ganda berbanding tawaran asal.
 
Tiga NGO berkenaan adalah Suara Rakyat Marhean (SUARA), Gerakan Penegak Suara Selangor (GAPENAS) dan Badan Amal Tarbiyah Sejagat (BATAS Malaysia).
 
"Kita ingin ingin minta desak pihak SPRM agar memanggil bekas Menteri Besar dan juga Menteri Besar kerana nak meleraikan. Kita sebagai rakyat kita ingin tahu siapa yang cakap betul. Adakah Tan Sri Khalid cakap betul ataupun (Datuk Seri) Azmin menjawab jawapan yang betul. 
 
"Sebab bila kita tengok angka ni berbeza 10 kali dan kita difahamkan punca (Tan Sri) Khalid disingkir jawatan Menteri Besar berpunca daripada isu ini...setelah pertemuan yang telah diatur oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar 2013. 
 
"Jadi kita ingin minta Khalid mendedahkan apa isi kandungan pertemuan sulit tersebut," kata jurucakap tiga NGO itu, Zamil Ibrahim yang juga Penasihat Suara Rakyat Marhean (SUARA), selepas menyerahkan laporan kepada SPRM, hari ini.
 
Kerajaan negeri Selangor pimpinan Azmin kini menerima tekanan apabila dipersoal banyak pihak bersabit isu pembayaran pampasan kepada SPLASH yang meningkat 10 kali ganda.
 
Ketika dibawah teraju Khalid, kerajaan negeri hanya menawarkan SPLASH pampasan bernilai RM250 juta.
 
Namun SPLASH menolak berikutan nilai pampasan itu terlalu sedikit tanpa mengambil kira liabiliti yang ditanggung mereka berjumlah RM1.584 bilion.
 
Selepas Khalid dipaksa melepaskan jawatannya menerusi Langkah Kajang, Azmin yang dilantik menjadi menteri besar dikatakan hampir bersetuju untuk membayar tuntutan pampasan SPLASH bernilai RM2.7 bilion.
 
Memburukkan keadaan Azmin pada sidang DUN Selangor menuduh Khalid sebagai hipokrit kerana kerap berkata tawaran yang dibuat kepada SPLASH ketika beliau menjadi menteri besar adalah RM250 juta, walhal ADUN Perlabuhan Klang itu pernah menawarkan syarikat itu sehingga RM2.9 bilion.
 
Azmin berkata beliau mempunyai bukti untuk menyokong tuduhannya kepada Khalid.
 
Khalid pada sidang media di kediamanya pada 9 November berkata Azmin sengaja mengalih isu untuk menutup tindakannya yang dikatakan bersetuju untuk mengikut tuntutan SPLASH.
 
Menurut Khalid tawaran pada 25 Jun 2009 berjumlah RM2.975 bilion kepada SPLASH, adalah nilai merangkumi ekuiti berjumlah RM1.579 bilion dan liabiliti RM1.396 bilion.
 
Selepas ditolak perbelanjaan pengurusan serta liabiliti yang ditanggung, maka Khalid menawarkan SPLASH hanya RM250 juta sebagai pempasan. 
 
Justeru kekeliruan itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) BATAS Malaysia, Hafizam Harum meminta SPRM campur tangan sehingga terlerainya kekusutan bersabit isu itu. 
 
"Saya hari ini meminta penjelasan adakah isu air ini ada kaitan dengan dakwaan komisyen sebanyak RM600 juta. Ini angka besar untuk itu BATAS meminta menyiasat segera kerana ini isu rakyat yang ingin tahu apa yang berlaku mengenai keadaan air di negeri Selangor pada hari ini," ujarnya

Tiada ulasan: