Selasa, 8 November 2016

Siasatan burger babi P Ramly, siap dua minggu lagi

Berita Harian Online, 
pramly-ninja-joe 


KUALA LUMPUR – Siasatan berhubung tindakan sebuah restoran makanan segera yang meletakkan nama “P Ramly” pada burger babi dijangka disiapkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal ) 2011.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Roslan Mahayudin, berkata pihaknya akan melakukan tindakan lanjut termasuk pendakwaan selepas menerima kertas siasatan berkaitan.

Katanya KPDNKK sudah memanggil pegawai penyiasat JAIS pada 3 November lalu bagi membincangkan mengenai tindakan undang-undang berkenaan.

“Kertas siasatan belum lengkap lagi dan pegawai penyiasat diminta untuk melengkapkannya dalam masa dua minggu.

Kertas siasatan ini dipantau oleh KPDNKK Selangor,” katanya kepada BH. Akhbar ini Oktober lalu mendedahkan tindakan sebuah rangkaian restoran mengiklankan burger babi kepada khalayak dengan menggunakan nama ‘P Ramly’ yang mendapat bantahan banyak pihak.

Siasatan JAIS membabitkan penggunaan perkataan yang boleh mengelirukan atau memperdayakan umat Islam bagi barang jualan yang tidak halal.

Syarikat pengeluar daging burger, Ramly Food Processing Sdn Bhd, turut membuat laporan kepada KPDNKK mempersoalkan tindakan pengusaha restoran terbabit menggunakan nama P Ramly yang menyebabkan tanda perniagaannya turut dikaitkan.

Sementara itu, Pakar Undang-Undang dan Politik (Syarak) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera kerana tindakan peniaga itu melanggar etika dalam masyarakat Islam.

“Gabungan perkataan babi dengan nama Ramly iaitu P Ramly tidak menghormati sensitiviti Melayu di negara ini,” katanya.

Tiada ulasan: