Jumaat, 4 November 2016

Prinsip perjuangan dan keterbukaan PAS

NASRUDIN HASSAN 


 

PRINSIP PERJUANGAN PAS

Islam adalah dasar perjuangan PAS. Berdiri teguh di atas dasar perjuangan Islam ini adalah prinsip PAS. Menang atau kalah dalam pilihan raya, PAS tetap bersama perjuangan Islam. PAS mendambakan kemenangan namun prinsip perjuangan ini tidak akan digadai pajak semata-mata kerana memburu kemenangan.

Bagaimana sayugianya PAS mempertahankan prinsip, adalah seperti penegasan yang disabdakan oleh Rasullullah SAW.

أَلَا إِنَّ رَحَى الْإِسْلَامِ دَائِرَةٌ، فَدُورُوا مَعَ الْكِتَابِ حَيْثُ دَارَ، أَلَا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ، فَلَا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ، أَلَا إِنَّهُ سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَقْضُونَ لِأَنْفُسِهِمْ مَا لَا يَقْضُونَ لَكُمْ، إِنْ عَصَيْتُمُوهُمْ قَتَلُوكُمْ، وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ أَضَلُّوكُمْ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، كَيْفَ نَصْنَعُ؟ قَالَ: «كَمَا صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ، نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ، وَحُمِلُوا عَلَى الْخَشَبِ، مَوْتٌ فِي طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِنْ حَيَاةٍ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ»

Ketahuilah! Sesungguhnya Islam bergerak dalam satu putaran maka pastikan senantiasa bersama Al Kitab (Al Quran) sekira-kira bagaimana kedudukannya.

Ketahuilah! sesungguhnya Al Kitab dan Pemerintah akan berpisah maka jangan kamu memisahkan diri dari Al Kitab (Al Quran).

Ketahuilah! Akan datang kepada kamu pemerintah yang bertindak untuk kepentingan diri mereka bukan bertindak untuk kepentingan kamu. Jika kamu mengingkari mereka, mereka akan bunuh kamu. Jika kamu mentaati mereka, mereka akan menyesatkan kamu.

Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Maka apa selayaknya tindakan kami?

Jawab Nabi SAW: Bertindaklah sebagaimana tindakan para sahabat Nabi Isa ibn Maryam. Mereka digergaji jasadnya dan dipalang pada kayu, namun Mati dalam keadaan taat kepada Allah SWT adalah lebih baik daripada hidup bergelumang maksiat kepada Allah SWT.

Telah dikeluarkan oleh At Tabarani (Mu'jam Al Kabir) dari Saidina Muaz Ibn Jabal Rha.

Sudah namanya prinsip maka ia mesti dipertahan dan diperteguhkan. Tidak mempertahankan prinsip adalah sifat orang yang tidak berprinsip dan ia merupakan satu kelemahan yang sangat ketara dalam kepimpinan dan perjuangan.

KETERBUKAAN PERJUANGAN PAS

Namun, hidup berprinsip bukan lah bermakna konservatif, rigid dan jumud. Sebaliknya 1001  pintu sedia terbuka bagi meraikan keindahan hidup berbeda dalam aneka warna. Hanya kita tidak  berubah dari paksi perjuangan Islam. Bagaikan spesis ikan yang isinya tetap tawar meskipun hidup di dalam lautan masin yang luas.

PAS melalui budaya politik matang dan sejahtera sangat mudah didekati dan mendekati mana-mana pihak, selama dasar dan prinsip perjuangannya tidak dicabar dan diganggu. PAS boleh berkawan dengan siapa jua asal kawannya itu sedia menerima dan menghormati dasar dan prinsip perjuangannya iaitu Islam.

Pengalaman luas dan lama PAS di pentas politik tanah air dengan pelbagai bentuk tahaaluf siyasi (kerjasama politik) yang telah dilalui, membuktikan PAS adalah sebuah parti  yang banyak bertolak ansur dalam rentak catur politiknya, namun PAS tidak boleh membiarkan dirinya ditolak beransur-ansur oleh petualang serta penyangak politik yang tamak dan haloba.

Politik dakwah dan amar makruf nahi mugkar menjadi cermin kepada corak keterbukaan versi PAS. Terbuka kerana gerak kerja PAS adalah berorientasikan dakwah dan berjuang untuk menegakkan al-makruf bersama masyarakat di dalam negara tercinta ini.

Pun begitu keterbukaannya tidak sampai menerima masuk sampah sarap yang berupa fasad dan mungkar sehingga menghakis nilai dan makna Islam yang diperjuangkan oleh PAS, justeru nahi munkar menjadi salah satu kriteria budaya politik yang diamalkan oleh PAS.

Mutakhir ini, pelbagai pihak termasuk parti-parti politik dan pengamal media sedang memerhati keputusan dan pendirian PAS mengangkat formula mendepani pilihan raya umum kelak. Tidak kurang juga cybertrooper dan pelampau media dengan agenda batu api dan racun tuba mereka yang tidak sudah-sudah mensasarkan PAS.

Satu lawan satu atau tiga penjuru atau lebih penjurunya adalah hanya kesan yang terhasil dari  sikap politik yang diambil. Ia bukan perkara pokok. PAS telah diletakkan dalam keadaan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dari kesan yang terhasil itu.

Muktamadnya, PAS akan terus istiqamah mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan Islamnya, sementara PAS bersikap terbuka kepada siapa jua yang sedia menerima dan menghormati dasar dan prinsip perjuangannya. PAS tidak mungkin membiarkan rumahtangganya diganggu lagi. PAS juga tidak akan mengorbankan prinsip perjuangannya sebagaimana PAS tidak pernah menutup pintu buat tetamu yang tahu adab dan menghormati serta memelihara maruahnya.

Inilah Penyelesaian Kita
Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan: