Jumaat, 18 November 2016

Pesan BERSIH menjelang himpunan Sabtu ini


 
Oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH2.0 


Pada hari Sabtu ini, BERSIH 2.0 akan turun berhimpun buat kali kelima untuk BERSIH secara aman, untuk menentang skandal korupsi 1MDB, dan menuntut pembaharuan institusi demi negara Malaysia yang baru.

BERSIH 2.0 sudah pun memenuhi semua syarat di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012 dan akan meneruskan himpunan BERSIH5 seperti yang dirancang.

Pada 19 November 2016, peserta-peserta akan berkumpul di dua tempat – LRT Bangsar (Dataran Maybank) dan Masjid Negara – pada pukul 10 pagi.

Pada jam 12.30 petang, kumpulan-kumpulan peserta akan bersatu di Dataran Merdeka di mana program himpunan akan bermula sebelum dijadual untuk tamat pada pukul 6 petang.

Semua anggota pasukan keselamatan BERSIH yang berpakaian warna ungu akan ditempatkan di tiga lokasi utama: LRT Bangsar, Masjid Negara, dan Dataran Merdeka.

Pasukan yang merangkumi 1,400 ahli ini akan mengendalikan semua insiden konfrontasi, keganasan, dan hal keselamatan am.

Peserta-peserta yang berdepan dengan sebarang provokasi dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dan beredar dari tempat kejadian. Ahli keselamatan akan mengambil alih situasi sebegini.

Untuk maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk kepada panduan keselamatan dan tata kelakuan yang dilampirkan dengan kenyataan ini.

Kami juga ada menyediakan pasukan urgent arrest. Jika berlaku sebarang penangkapan, SMS nama penuh, nombor IC, dan tempat penangkapan ke talian 011-21376814 atau 011-39376684.

Jika berlaku sebarang kejadian kecemasan yang berkaitan dengan kesihatan, pasukan perubatan kami yang seramai 160 ahli siap sedia menghulurkan bantuan.

Hantarkan SMS kepada talian hotline perubatan di 011-39440069.

Untuk berita terkini dan perkembangan terbaru, ikutilah rangkaian-rangkaian rasmi BERSIH 2.0: Facebook (www.facebook.com/BERSIH2.0OFFICIAL), Twitter (www.twitter.com/bersih2), dan Instagram (www.instagram.com/bersihdua).

Jangan lupa muat turun aplikasi rasmi kami, Prime, untuk maklumat terlanjut melalui telefon bimbit anda.

Sudah pun berjaya

Program BERSIH 5 telah bermula pada 1 Oktober 2016 dengan konvoi BERSIH 5, dengan tujuan menyebarkan mesej BERSIH mengenai pembaharuan institusi di kawasan-kawasan luar bandar. Dari segi ini, BERSIH5 sudah pun mencapai kejayaan.

Sepanjang tujuh minggu ini, konvoi BERSIH5 telah melawati 236 bandar, pekan, dan kampung di seluruh pelosok Malaysia yang kehadiran dan mesej kami diterima dengan baik.

Kejayaan yang dicapai oleh konvoi kami adalah hasil kerjasama ahli-ahli jawatankuasa tempatan, peserta-peserta, dan semua penyokong yang berdiri teguh memastikan konvoi berjalan dengan lancar walaupun diganggu oleh sesetengah pihak.

Konvoi BERSIH5 akan berkemuncak pada himpunan aman 19 November ini di Kuala Lumpur, Kuching, dan Kota Kinabalu.

Kami akan turun jalan raya kerana keadaan di Malaysia semakin teruk. Pentadbiran yang bobrok serta kekurangannya akauntabiliti merupakan punca skandal korupsi 1MDB.

Tambahan lagi, aktiviti persempadanan semula kawasan pilihan raya yang melanggar perlembagaan negara oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan terus menyebabkan pilihan raya kita tidak bersih dan adil.

Suara-suara yang berbeza pendapat ditindas, mana kala kegiatan jenayah berunsur ugutan dan keganasan oleh samseng terus digalakkan.

Menjelang hari himpunan, BERSIH 2.0 menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyertai kami dan turun ke jalan raya pada hari Sabtu ini untuk menuntut:
  • Pilihan raya bersih
  • Kerajaan bersih
  • Kukuhkan demokrasi berparlimen
  • Hak membantah
  • Memperkasa Sabah dan Sarawak
Bagi mereka yang tidak dapat hadir ke BERSIH 5, tunjukkan sokongan anda dengan memakai baju BERSIH atau baju yang kuning, atau memaparkan sesuatu yang berwarna kuning.

Mari kita bersatu dan sampaikan satu pesanan kolektif yang kuat kepada kerajaan bahawa kita layak menuntut sebuah negara Malaysia yang lebih baik.

Satukan tenaga, Malaysia baru.

Tiada ulasan: