Rabu, 16 November 2016

Peruntukan kementerian lain dipotong, peruntukan Jabatan Perdana Menteri pula ‘melampau’

chin tong

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah menerima peruntukan yang ‘melampau’ dalam Belanjawan 2017 di saat kementerian-kementerian lain harus memotong perbelanjaan mereka.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata walaupun hanya 18 peratus (RM48 bilion) dari keseluruhan belanjawan diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, JPM mengambil sebanyak 23 peratus daripada jumlah tersebut.

“Hal ini akan mengakibatkan projek-projek menaik taraf jalan raya, hospital dan sebagainya mungkin berdepan kesukaran.

“Ia memberi gambaran bahawa JPM telah mengambil sejumlah peruntukan yang tidak wajar, yang sepatutnya diberikan kepada kementerian-kementerian lain untuk disalur manfaatnya kepada rakyat,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Kluang itu baru-baru ini menerima jawapan bertulis dari Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung jumlah peruntukan yang diterima agensi kerajaan tersebut. Perbelanjaan pengurusan dan pembangunan masing-masing sebanyak RM4.92 bilion dan RM11.01 bilion.

Menteri itu kemudiannya menyatakan jumlah RM11.01 bilion yang diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan akan disalurkan menerusi 31 bahagian, serta terdapat 92 unit dalam JPM.

“Menjadikan jumlah 92 unit ini sebagai hujah untuk ‘menghalalkan’ peruntukan besar kepada JPM, bagi saya, amat dangkal.

“Sejak awal, saya berpendapat kerajaan tidak perlu mewujudkan terlalu banyak agensi di bawah seliaan JPM. Secara tak langsung, ia menghakis peranan kementerian-kementerian sedia ada,” ujar Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP.

Beliau menjelaskan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai contoh, tidak wajar berada di bawah JPM sedangkan hal pengangkutan tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

“Biarpun jumlah peruntukan untuk JPM sebanyak RM15.94 bilion bagi tahun 2017 lebih kecil berbanding RM20 bilion pada tahun 2016, ia masih perlu dibendung.

“Hakikatnya, JPM telah mengambil sejumlah 6.1 peratus daripada keseluruhan jumlah Belanjawan 2017 berbanding 3.4 peratus pada 2008,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: