Khamis, 17 November 2016

Penjawat awam boleh dibuang kerja, potong gaji jika sertai BERSIH 5

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Penjawat awam diingatkan tidak menyertai sebarang kumpulan atau perhimpunan di ibu negara, Sabtu ini, atau berdepan tindakan tatatertib, termasuk dibuang kerja atau potong gaji.
 
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa yang memberikan amaran itu berkata, bentuk tindakan yang akan diambil ke atas penjawat awam terbukti terbabit dalam perhimpunan tidak sah hujung minggu ini bergantung kepada tahap penglibatan mereka.
 
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga akan mengambil tindakan terhadap penjawat awam, jika gambar mereka terlibat dalam perhimpunan itu disiarkan media.
 
“Kalau ada (penjawat awam) yang jadi pemimpin, tindakan yang dikenakan berbeza daripada yang lain (penjawat awam yang menjadi peserta). Tindakan akan diambil berdasarkan gambar serta aduan yang diterima,” katanya selepas merasmikan Persidangan Tahunan Puspanita Kali Ke-4, hari ini.
 
Beliau berkata, lazimnya penjawat awam tahu mereka tidak boleh menyertai mana-mana perhimpunan haram dan beliau berharap mereka akan mematuhi peraturan itu.
 
Bersih yang memilih warna kuning sebagai lambang perjuangan mereka, adalah sebuah pergerakan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya di Malaysia dan merancang menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
 
Bagaimanapun, gerakan Baju Merah mendakwa Bersih bertujuan menggerakkan agenda asing untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan mengugut akan menganjurkan perhimpunan balas di tempat, hari dan waktu sama.
 
Pada 8 November lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kedua-dua notis yang dihantar penganjur Bersih 2.0 gagal memenuhi prasyarat Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini.
 
Selasa lalu, polis memberi amaran akan menggunakan semburan air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Baju Merah dan Bersih.
 
 

Tiada ulasan: