Sabtu, 5 November 2016

Penganalisis ingatkan PAS supaya perteguh pendirian kerjasama pembangkang

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penganalisis politik Datuk Dr. Ramlah Adam menyifatkan perbezaan pandangan dalam PAS mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan adalah merupakan strategi mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Malah ujarnya, tindakan ini boleh menyebabkan rakyat mahupun pengundi tidak akan mempercayai kenyataan mereka kerana sering berubah-ubah dan tidak tetap pendirian.
 
"Mungkin PAS ni cuba tengok kemungkinan-kemungkinan yang ada untuk mereka menang Pilihan Raya akan datang ni dan dapat pengaruh. Tapi itukan berkrontradik (kenyataan Hadi dan Nik Abduh).
 
"Saya rasa politik memang macam itulah. Sekejap begini sekejap begitu. Jadi kita tak boleh pegang sangat cakap mereka," katanya kepada Antarapos.
 
Terdahulu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan parti-parti dari Pakatan Harapan namun, dengan syarat 'tidak mengacau rumah mereka.'
 
Walau bagaimanapun, Hadi enggan mengulas lanjut maksud di sebalik frasa 'tidak mengacau rumah' kepada pemberita.
 
Namun, Ketua pemudanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz, pula tampil menyatakan pendirian sebaliknya, iaitu menafikan kenyataan Hadi tersebut. 
 
Malah Nik Abduh, menyalahkan media yang dikatakan memutar belit kenyataan presiden parti itu.
 
Justeru Ramlah mengingatkan parti itu untuk menjaga konsistensi mereka berkenaan pendirian kerjasama sesama pembangkang itu.
 
Ini kerana kenyataan yang bertentangan ini, boleh memberi kesan yang tidak baik terhadap parti itu.
 
"Kalau nak jaga integriti di depan mata rakyat di mata orang ramai mereka (PAS) kena hati-hatilah dengan dasar kenyataan dan dasar tingkah laku mereka.  
 
"Bila berlaku macam ni, kita pun macam putus harap dan tidak berapa percayalah," katanya lagi.
 
Sekaligus beliau turut meminta supaya PAS tidak terus berdolak-dalik dalam isu kerjasama tersebut.
 
"Selama ini kita tahu pendirian dia (PAS) tidak mahu bekerjasama dengan PAKATAN. (Tapi) PAS ni macam berdolak-dalik kan," katanya.
 
 

Tiada ulasan: