Khamis, 3 November 2016

Penduduk marah alasan peniaga minyak masak habis

 
 
Minyak masak kehabisan stok di beberapa kedai dan pasar raya sekitar Bukit Minyak dan Juru sejak kebelakangan ini.
 
 
Minyak masak kehabisan stok di beberapa kedai dan pasar raya sekitar Bukit Minyak dan Juru sejak kebelakangan ini.
 
"Minyak masak sudah habis, tiada stoki"
 
Itu jawapan beberapa peniaga kedai runcit di sekitar kawasan Juru dan Bukit Minyak di sini mengenai bekalan minyak masak menyebabkan orang ramai khususnya penduduk setempat disini berdepan masalah kesukaran mendapatkan minyak masak sejak kebelakangan ini.
 
Tinjauan MalaysiaGazette ke beberapa kedai runcit termasuk sebuah pasaraya milik syarikat Jepun di Bukit Minyak mendapati minyak masak berjenama Cap Pisau dan Helang tidak ada dijual atas alasan kehabisan stok.
 
Kalau ada pun pasar raya yang hanya menjual minyak masak harga mahal seperti jenama Daisy dan Cap Bunga Matahari sahaja dijual.
 
Pemantauan di lebih 10 kedai runcit dan pasar mini di sekitar kawasan berkenaan juga tidak mempunyai bekalan minyak masak dan ada juga peruncit yang kehabisan  minyak dalam bungkusan sekilogram.
 
Peniaga sempat ditanya mengenai ketiadaan minyak masak mendakwa stok dalam botol bersaz besar sudah habis dan tidak tahu bila akan tiba stok terbaharu.
 
"Kita mahu jual pada harga RM28 tetapi kami diminta kekalkan jualan pada harga lama (RM17.50), jika kami jual mahal nanti susah sebab orang ramai sini akan marah dan mengamuk. Kami tidak ada minyak masak lagi," katanya kepada seorang pengguna yang datang ke kedainya hari ini.
 
Bagaimanapun, ramai merungut dan mengecam tindakan peniaga yang memberi alasan minyak masak kehabisan stoknya dan mendakwa mereka sengaja menyimpan stok bagi menaikkan harga apabila permintaan meningkat.
 
"Kami meragui sikap sesetengah peniaga ini, kerana sudah tiga hari saya ulang alik ke kedai di sini tetapi diberi alasan yang sama iaitu minyak masak habis? Macam mana boleh habis sedangkan kerajaan kata stok mencukupi terutama apabila perayaan Deepavali baru-baru ini.
 
"Saya mahu penguat kuasa berkaitan perkara ini segera memeriksa setiap kedai runcit di sini, kami tak percaya lagi dengan peniaga ini kerana mereka seperti mempermainkan pembeli seperti kami.
 
"Kami mengesyaki mereka (peniaga) mungkin menyorok bekalan minyak yang sedia ada selepas khabar angin tersebar kononnya minyak masak dalam botol akan mengalami kenaikan harga sejak akhir-akhir ini. Kami tak nak ambil tahu ia hanyalah khabar angin atau sahih daripada kerajaan tapi  tidak mahu kami dijadikan mangsa keadaan oleh peniaga ini," tegas G. Jeevanathan dari Juru ketika ditemui.--MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: