Sabtu, 5 November 2016

PAS tak akan sertai BERSIH 5 walaupun diugut

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: PAS tidak akan termakan perangkap yang mahu parti Islam itu menyertai BERSIH 5, sekalipun untuk membuktikan kesungguhan dalam kerjasama bersama pembangkang PRU14 nanti.
 
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun PAS bersedia berbincang mengenai kerjasama satu lawan satu, namun keputusan untuk tidak menyertai BERSIH tetap tidak akan berubah.
 
“Kita sudah beritahu sebelum ini kita tidak akan sertai BERSIH. Jangan perangkap kita kononnya kalau nak bersatu, kena sertai BERSIH.
 
"Tidak, kita tidak akan sertai BERSIH,” katanya yang dipetik Sinar Harian hari ini.
 
Terdahulu beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang didakwa mencabar PAS menyertai BERSIH 5 jika parti itu serius untuk mengadakan kerjasama dengan parti pembangkang bagi menghadapi PRU nanti.
 
Tuan Ibrahim berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan ketetapan yang jentera PAS tidak menyertai perhimpunan BERSIH 5.
 
Beliau berkata, walaupun PAS menyokong beberapa tuntutan yang dibuat BERSIH, namun parti itu mempunyai agenda yang lebih besar yang perlu difokus kini.
 
“Kita mahu tukar sistem, bukan sekadar tukar orang. Bagi kita, agenda yang selaras dengan dasar parti kita, kita akan sokong.
 
"Kita ucapkan terima kasih kerana buat tuntutan tersebut dan PAS kini sedang fokus untuk membuat perubahan melalui sistem demokrasi,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: