Selasa, 8 November 2016

Pampasan SPLASH: Azmin pertahan tuduhan pada Khalid Ibrahim

Oleh Azizul Osman
Post Pic


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa bekas penyandangnya, Tan Sri Khalid Ibrahim pernah menawarkan RM2.9 bilion kepada SPLASH untuk mengambil alih aset syarikat konsesi air itu.

Azmin juga mempersoalkan tindakan Khalid yang padanya terus menipu rakyat apabila tetap bertegas bahawa tawaran yang dibuat kepada SPLASH atau Syarikat Pengeluar Air Selangor ketika menjadi menteri besar adalah RM250 juta sahaja. 
 
"Kenapa anda (Khalid Ibrahim) berbohong kepada rakyat, dia sebut RM250 juta tapi saya ada bukti yang saya kemukakan kepada Dewan yang jelas menyatakan bahawa tawaran kepada SPLASH adalah RM2.9 bilion dan SPLASH telah bersetuju dengan tawaran tersebut. 
 
"SPLASH juga telah menulis surat kepada KETTHA (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) memaklumkan bahawa Khalid dengan SPLASH bersetuju dengan harga tersebut," kata Azmin kepada pemberita di lobi DUN Selangor, hari ini.
 
Khalid hari ini memberitahu sudah menghubungi pejabat DUN Selangor untuk menetapkan tarikh bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan Azmin terhadapnya.
 
Bagaimanapun, permohonannya ditolak speaker dewan, Hannah Yeoh.
 
ADUN Perlabuhan Klang itu sebelum ini mempersoalkan kepimpinan Azmin yang dilaporkan hampir bersetuju untuk membayar RM2.7 bilion kepada SPLASH, peningkatan 10 kali ganda daripada tawaran asal. 
 
Azmin kemudiannya menempelak Khalid ketika berbahas pada sidang DUN dengan berkata Khalid hipokrit.
 
"Yang saya dedahkan dalam Dewan kerana hipokrasi (Tan Sri) Khalid Ibrahim, di luar dia sebut RM250 juta tetapi dia sendiri yang telah tulis surat kepada SPLASH menawarkan RM2.9 bilion, jadi dia mesti bertanggungjawab dengan apa yang telah diputuskan semasa memegang pemerintahan Selangor. Itu kenyataan saya," jawab Azmin terhadap tuduhan Khalid.
 
Azmin juga mempersoal tindakan Khalid yang tidak hadir ke sidang DUN namun hanya membangkitkan persoalan itu di luar dewan.
 
"Jadi menjadi tanggungjawab dia untuk respon kepada rakyat mengapa dia menawarkan RM2.9 bilion. Ia tiada kaitan dengan kepimpinan saya sebab saya (kerajaan negeri) masih berunding dan sebab itu kedua-dua pihak melantik penilai bebas untuk menentukan harga yang adil dan terbaik untuk kesemua pihak. 
 
"Perlu ke saya jemput dia (Khalid) untuk hadir sesi DUN, nak saya kemukakan surat jemputan peribadi untuk dia hadir ke sidang Dewan. Ini tanggungjawab beliau untuk hadir. Dia telah tidak hadir selama seminggu," katanya lagi.
 
Mengulas mengenai proses ambil alih SPLASH, jelas Azmin kerajaan Persekutuan memohon penangguhan selama enam bulan lagi bagi pihak kerajaan melantik badan penilai bebas antarabangsa ke arah memuktamadkan proses berkenaan.
 
"Dimana yang menyatakan kita telah putuskan, belum lagi. Masih berbincang. Sebab itu Kabinet sendiri meminta supaya kita setuju dibuat lanjutan selama 6 bulan untuk membolehkan Kerajaan Persekutuan melantik satu penilai antarangsa bagi membuat penilaian. 
 
"Jadi proses perbincangan masih berjalan dengan kerajaan Persekutuan. Mereka yang memutuskan untuk lanjutan enam bulan, mereka yang menentukan untuk melantik penilai bebas," katanya.
 
 

Tiada ulasan: