Khamis, 17 November 2016

MP tuntut lebih ramai disiasat SPRM


Zulaikha Zulkifli

Selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini menggesa pihak berkuasa turut menyiasat lembaga pengarah Tabung Haji.

Setiausaha agung PKR itu mempersoalkan keputusan pengurusan Tabung Haji termasuk lembaga pengarah dan panel pelaburannya membuat pelaburan di GLC yang mengundang kontroversi.

"Bagaimana pengurusan Tabung Haji termasuk Lembaga Pengarah dan panel pelaburan boleh membuat keputusan untuk melabur di dalam sebuah syarikat yang sebelum Tabung Haji membuat pelaburan besar besar, telah mengundang pelbagai kontroversi.

"Lebih penting siasatan perlu dibuat tentang bagaimana setelah GLC itu mengalami kerugian, Tabung Haji terus menyuntik dana ke dalam GLC itu hingga memberi pelbagai bentuk sokongan kewangan walaupun Tabung Haji hanyalah pemegang 30 peratus dalam GLC terbabit.

"Pengurusan kanan Tabung Haji dan peringkat Lembaga Pengarah, panel pelaburan dan ketua pegawai eksekutifnya yang bertanggungjawab dalam keputusan di atas perlu disiasat juga kerana keputusan mereka terus melaburkan wang pendeposit Tabung Haji ke dalam GLC itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara, Rafizi berkata beliau akan menunggu maklum balas Tabung Haji berhubung perkara itu dan akan mempertimbangkan membuat laporan polis minggu depan terhadap beberapa pengurusan Tabung Haji.

"Saya akan tunggu sampai minggu depan, dan jika tiada sebarang respon saya akan membuat laporan polis," katanya lagi.

Rafizi berkata lagi, walaupun tiada unsur rasuah atau penyelewengan, pengurusan kanan Tabung Haji boleh disiasat bagi memastikan tiada unsur kecuaian.

Isnin lalu SPRM menahan seorang pengarah GLC bergelar Datuk, dipercayai menyalahgunakan kuasa dan menerima sejumlah wang rasuah.

Menurut sumber, suspek berusia 50 tahun itu ditahan di rumahnya di Shah Alam, kira-kira pukul 12.30 tengah hari sebelum dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan.

Rafizi sebelum ini telah membuat beberapa pendedahan berkaitan pelaburan Tabung Haji yang didakwa mengalami kerugian.

Antaranya Rafizi mendakwa kerajaan menyerahkan kontrak bernilai RM740 juta kepada TH Heavy Engineering Bhd (THHE) melalui rundingan terus.

THHE ikrar beri kerjasama penuh

Sementara itu, The Edge Markets melaporkan, THHE berikrar memberi kerjasama penuh kepada siasatan SPRM susulan siasatan terhadap dua pegawai kanannya.

“Syarikat ini komited menyokong sebarang usaha untuk meningkatkan ketelusan, integriti dan amalan perniagaan beretika sebagai faktor utama ke arah pengurusan korporat yang baik,” kata THHE dalam kenyataannya semalam.

Bagaimanapun, susulan perkara itu sedang disiasat, syarikat itu tidak kan memberikan sebarang komen lanjut buat masa itu.


Tiada ulasan: